Siakap Keli

Bookdoc, KBS Jalin Kerjasama Tawar Khidmat Tele-Kesihatan Percuma

KUALA LUMPUR, 30 April — BookDoc, bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menyediakan perkhidmatan tele-kesihatan percuma bernilai RM1 juta untuk mengembangkan jangkauan perkhidmatannya dan kesedaran COVID-19.

Pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh berkata perkhidmatan yang disediakan adalah tele-kesihatan percuma mengenai COVID-19 atau isu kesihatan yang lain seperti kesihatan mental, untuk menyokong para atlet yang duduk di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  dan bimbingan kesihatan oleh pakar pemakanan dan diet.

“Pandemik COVID-19 adalah cabaran terbesar manusia pada zaman moden ini dan telah mempengaruhi kehidupan kita dalam pelbagai cara. Untuk memenangi peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memikul tindakan yang kami boleh lakukan dan bertindak pantas selepas penularannya, untuk membendung virus ini,” kata Beh dalam kenyataan.

Sementara itu menurut kenyataan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perkhidmatan tele-kesihatan inisiatif BookDoc adalah tepat pada masanya terutama ketika tempoh PKP, apabila semua orang tinggal di rumah.

“Terima kasih BookDoc, tawaran komplimentari ini kini boleh diakses oleh atlet negara, bekas atlet, pemimpin belia, pelajar dan pelatih di bawah IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara) dan ILKBS (Institusi Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan),” kata Reezal Merican.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul