Siakap Keli

”Sudah-Sudahlah..” Ayah Koperal Safwan Rayu Netizen Henti Tular Gambar Anak Maut Dirempuh

Ipoh: “Berhenti tular gambar kemalangan libatkan anak saya,” demikian rayu Mohamad Ismail Othman, ayah kepada Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, yang maut dirempuh pemandu mabuk ketika bertugas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang, awal pagi ini.

Mohamad Ismail, 60, yang merupakan pesara VAT69 Komando, berkata walaupun pahit, namun beliau yang baru keluar wad hospital kerana masalah jantung harus redha dengan kehilangan anak kedua daripada sembilan beradik itu.

“Saya cuma minta budi orang ramai untuk tidak terus tularkan gambar kemalangan anak saya, sudah-sudahlah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Tanjung Rambutan dekat sini, hari ini.

Sementara itu, kakak arwah, Suraya, 32, berkata pada 1 Mei lalu genap 11 tahun adiknya itu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sempat berkongsi gambar kenangan semasa tamat latihan.

“Masa bapa kami dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung arwah ada balik sebentar tapi dia bergegas pulang ke Kajang kerana perlu bertugas.

“Tidak sangka mesej ceria kongsikan gambar tamat latihan polis dan memberitahu telah 11 tahun berkhidmat dalam PDRM Jumaat lalu adalah yang terakhir daripadanya,” katanya.

Beliau berkata jenazah adiknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan sebelum Asar hari ini.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Allahyarham Safwan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)