Siakap Keli

Hukum Mandi Wajib Selepas Subuh Semasa Bulan Puasa – Pejabat Mufti WP

Jika seseorang itu dalam keadaan berhadas besar, maka perlulah mandi wajib untuk menunaikan solat dan ibadah puasa tambah-tambah lagi di bulan yang mulia ini.

Namun, ramai yang masih keliru dan banyak persoalan yang terlintas difikiran tentang isu mandi wajib selepas waktu subuh di bulan Ramadan. Sah ke puasanya? Ya, kita semua tahu bahawa mandi wajib ini perlu disegerakan supaya tidak terlepas waktu solat.

Jadi, hari ini SK ingin berkongsi penjelasan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum mandi wajib selepas azan waktu Subuh semasa bulan puasa.

SOALAN:

Salam ustaz. Salam Ramadhan dan selamat berpuasa. Saya ada soalan nak bertanya kepada ustaz. Apakah hukum kita melewat-lewatkan mandi wajib (mandi selepas azan subuh untuk tunaikan solat subuh) selepas bersama dgn isteri pada malam hari bulan Ramadan? Adakah sah puasanya kerana kita mandi wajib selepas azan subuh? Mohon penjelasan daripada ustaz. Terima kasih.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Melewat-lewatkan mandi janabah selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu.

Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar dan dalilnya seperti yang disebut dalam kitab Bulugh al-Maram, daripada Saidatina Aisyah R.anha:

أَنَّ اَلنَّبِيَّ – صلى اللّه عليه وسلم -كَانَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ جِمَاعٍ, ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub akibat jima’ (pada malamnya), lalu Baginda mandi (wajib) dan (meneruskan) berpuasa.

Hadis Muttafaqun ‘alaih

Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh. Ini pendapat majoriti ulama.

Rujuk al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (6/307-308)

Wallahua’lam.

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang