Siakap Keli

Pulau Pinang Bakal Menyambut Ketibaan Pelancong Menjelang Suku Tahun Ketiga Dan Keempat 2020

GEORGE TOWN, 14 Mei — Pulau Pinang menjangkakan bakal menyambut ketibaan pelancong menjelang suku tahun ketiga dan keempat tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata meskipun dikategorikan sebagai zon hijau, negeri itu masih berusaha membina semula industri pelancongannya.

“Kami hanya boleh menerima pelancong pada suku tahun ketiga dan keempat tahun ini kerana kami merancang untuk membina semula industri itu. Sekarang kami melaksanakan semua strategi dan perancangan untuk membolehkan kami bersedia bagi suku tahun ketiga dan keempat,” katanya semasa Forum dalam talian mengenai “Next Normal for Business Events Penang – How Business Events Penang will charter post-MCO world” di sini hari ini.

Ahli panel bagi forum itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang Ashwin Gunasekeran, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang Khoo Boo Lim, Setiausaha Kehormat Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Charles Teo dan moderator acara itu yang juga CEO Place Borneo Mona Manap.

Yeoh berkata kerajaan negeri kini melaksanakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang (PGRS) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat bagi membolehkan lebih banyak perniagaan memulakan operasi mereka.

“Kami perlu melakukannya secara berperingkat. Jika kami terlalu ekstrem terhadap industri, kami akan membunuh rakyat dan jika kami terlalu ekstrem ke atas kesihatan makan kami menjejaskan industri itu,” katanya.

Bagi industri perhotelan, Khoo berkata SOP baharu sedang disusun untuk para pengusaha hotel dengan garis panduan yang menyeluruh sepanjang tempoh ini.

“Kami menghasilkan empat langkah pengawalan utama bagi hotel untuk diikuti apabila mereka memulakan operasi iaitu pengurusan orang ramai, pengurusan barisan, pengurusan tempat duduk dan pengurusan interaksi,” katanya.

Khoo turut menggesa agar SOP penganjuran acara di hotel dikaji semula bagi mengelak perhimpunan besar.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah