Siakap Keli

73 Daripada 149 Hari Untuk Tahun 2020, Kita Habiskan ‘Hidup’ Dalam PKP & Norma Baharu Setakat Ini

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 sehingga bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat Malaysia sudah mengharungi 73 hari hidup dalam norma yang baharu.

Sejak 1 Januari 2020 sehingga ke hari ini, 29 Mei 2020, kita telah lalui 149 hari dan hampir separuh dari tempoh tersebut rakyat Malaysia hidup dalam Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.

Pelbagai norma baharu yang makin hari makin terbiasa diamalkan seperti penjarakan sosial, memakai topeng muka ketika berada di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.

Sambutan bulan Ramadan dan Syawal juga disambut dalam keadaan yang hampir  keseluruhannya berbeza. Kita tidak dibenarkan merentas negeri dan pulang ke kampung halaman untuk berbuka puasa mahupun menyambut Syawal bersama ibu dan ayah tercinta.

Semalam, Malaysia mencatat hanya 10 kes baharu positif Covid-19 dan jumlah itu adalah yang paling rendah pernah dicatatkan sejak PKP dilaksanakan. Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, jika kes terus menunjukkan penurunan dan kekal rendah sehingga tempoh PKPB tamat pada 9 Jun 2020, banyak lagi sektor sosial akan dibuka termasuk sektor pendidikan.

Dalam pada kita menyambut kemeriahan bulan Syawal secara sederhana, jangan kita lupa di luar sana masih ramai insan yang tidak bernasib baik dan ada juga dipotong gaji serta lebih teruk diberhentikan kerja kerana ada segelintir syarikat mengalami kerugian teruk dan tidak mampu menampung gaji pekerja dalam tempoh PKP.

Tapi sebagai insan yang bertamadun, kita harus percaya akan ada hikmahnya selepas semua ini kembali reda. Pakar-pakar kesihatan menjangkakan kita akan terus hidup bersama pandemik ini paling kurang lagi 2 tahun atau mungkin selama-lamanya. Maka, teruslah mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan jangan pentingkan diri sendiri semata-mata mahu memenuhi kehendak dan nafsu sendiri sehingga mengancam nyawa keluarga dan orang lain.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)