Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKPP: Pengantin Baharu Ambil Peluang Berbulan Madu

Kota Bharu: Kebenaran merentas negeri dan pembukaan sektor pelancongan domestik memberi khabar gembira buat pasangan pengantin yang baharu berkahwin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Kebanyakan mereka teruja dengan pengumuman itu dan akan menggunakannya untuk menikmati saat-saat indah bersama pasangan untuk berbulan madu seperti dirancang sebaik mendirikan rumah tangga sebagai ‘hadiah’, selepas terpaksa berkahwin tanpa sebarang kenduri atau majlis resepsi diadakan.

Pekerja minyak dan gas di sebuah syarikat swasta, Isma Hamdan Zulkifli, 28, yang mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Nurul Addnin Azmin, 25, pada 25 Mei lepas berkata, beliau merasa lega apabila kerajaan memberi kebenaran kepada sektor pelancongan untuk kembali beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

”Kelonggaran diberikan ini akan diambil untuk berbulan madu bersama isteri saya. Perancangan awal, kami hendak berbulan madu di Bali, Indonesia esok (10 Jun), namun terpaksa menangguh hasrat itu apabila terjadinya penularan COVID-19 ini, selain pintu sempadan negara masih ditutup.

”Kami turut bernasib baik kerana belum membuat sebarang tempahan tiket penerbangan dan juga tempat penginapan di Bali. Kini, saya dan isteri mengambil keputusan untuk berbulan madu di Cameron Highlands, Pahang, sekitar awal Ogos nanti selama tiga hari,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya tindakan kerajaan yang membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi itu wajar dipuji memandangkan ia dapat membantu negara mempercepatkan pemulihan ekonomi terutama kepada industri pelancongan.

Sementara itu, penolong pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan, Ahmad Syaifullah Mohd Raduan, 25, serta pasangannya, Siti Nursarah Mohamad Tahir, 26, yang mendirikan rumah tangga pada hari kedua sambutan Aidilfitri, memilih untuk berbulan madu di Pulau Perhentian, Terengganu, pada 16 Jun ini.

Katanya, walaupun diberikan kebenaran untuk merentas negeri dan melancong namun aktiviti ini akan dijalankan dengan rasa bertanggungjawab dengan mengadaptasi normal baharu serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

”Walaupun angka jangkitan COVID-19 hanya mencatatkan satu digit semalam namun saya akan mengambil langkah berjaga-jaga selain mengamalkan SOP yang betul ketika berbulan madu nanti bagi mengurangkan sebarang risiko penularan wabak ini,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.