Siakap Keli

Kerana Berebut Tapak, Peniaga Didenda RM 3,000 Cederakan Penjual Durian, Rosakkan Khemah Jualan

KAJANG, 24 Jun – Padah merosakkan khemah jualan durian dan mencederakan seorang peniaga lain kerana berebut tapak perniagaan, seorang peniaga dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Johari Siffar, 42, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah mengenakan denda masing-masing RM1,500 atau 14 hari penjara, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Johari didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjual durian, Yusri Mustaffa, 52, di tapak perniagaan berdekatan sebuah surau di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, di sini pada pukul 12 tengah hari, 20 Jun lepas, dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan terhadap meja, khemah berukuran 10 kaki dan buah durian milik Yusri, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Johari bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah bagi menakutkan isteri mangsa, Maria Mohd Nor, 46, dengan cara menghayun sebiji durian untuk menyebabkan cedera parah terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah merosakkan tapak perniagaan mangsa dengan cara membalikkan meja dan merosakkan khemah milik lelaki itu sebelum bertindak menumbuk muka dan menendangnya selain hampir membaling isteri mangsa menggunakan buah durian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

“Tertuduh berusia 42 tahun dan sudah matang, seharusnya tahu membezakan perkara yang baik dan buruk,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum ke atasnya atas alasan dia perlu menjaga ibu yang sudah berusia.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang