Siakap Keli

Wan Islahuddin Legasi Tukang Besi Pesisir Sungai Pahang

PEKAN, 28 Jun  — Pernah terkena percikan api di mata ketika proses menempa besi pada awal penglibatannya sebagai tukang besi, Wan Islahuddin Ali, tidak patah semangat dan kini sudah lali demi minatnya terhadap nilai estetika pembuatan senjata tradisional Melayu terutamanya keris.

Lebih dikenali dengan nama Pak Teh dalam kalangan penduduk setempat dan berasal dari Kampung Salong, Chini dekat sini, sebuah perkampungan tradisi di pesisir Sungai Pahang, bukanlah individu asing dalam kalangan tukang besi di Pahang terutama di Daerah Pekan.

Sebelum mengambil keputusan terbabit dalam seni pertukangan itu, Wan Islahuddin pernah bekerja sebagai jurukimpal hampir 10 tahun di sebuah syarikat minyak dan gas (O&G).

Seni pertukangan senjata diminatinya sejak kecil lagi, namun bapa kepada tiga anak ini mula serius menceburkan diri dalam bidang itu tujuh tahun lalu setelah bertekad pulang dari ibu kota pada 2013 untuk berbakti menjaga ibunya di kampung halaman.

Pada mulanya dengan masa terluang beliau menghidupkan kembali minatnya dengan berguru daripada seorang pakar pembuat seni senjata tradisional di Kuantan, dan tidak menyangka seni berkenaan boleh bertukar kepada perniagaan komersial.

“Mempelajarinya perlu seiring dengan minat mendalam dan menuntut kesabaran yang cukup tinggi, barulah hasil kerja kita akan kemas dan sempurna,” katanya kepada Bernama.

Hasil kerja beliau mendapat permintaan ramai serta mempunyai keunikan tersendiri memandangkan beliau antara pembuat senjata Melayu yang masih menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan senjata yang melambangkan kekuatan orang Melayu zaman dahulu kala.

Harga sebilah keris tanpa sarung dijual antara RM350 hingga RM2,000, bergantung pada jenis, besi, saiz serta ukiran seninya.

Wan Islahuddin, 41, berkata proses membuat keris melibatkan proses menempa, membentuk, mengikir, menyepuh dan mengukir pada keris, dan untuk membuat sebilah keris yang berkualiti, prosesnya memakan masa bergantung kepada saiz, keluk dan pamor.

“Minimum anggaran masa dalam dua minggu menyiapkan satu bilah keris yang mudah, tapi ada jenis keris,  orang Pahang kata ‘cendeng’ (sukar dan bermasalah) kadang-kadang boleh sampai tujuh bulan nak siapkan sebilah keris sahaja.

“Senjata lain seperti pisau dan parang lebih mudah untuk dihasilkan kerana ia adalah bagi kegunaan harian, yang lazimnya memadai dengan reka bentuk asas,” katanya, yang sedikit kabur sebelah penglihatan gara-gara percikan api di matanya sekitar tahun 2015.

Wan Islahuddin berkata keris yang sering dihasilkannya adalah jenis keris Melayu terdiri daripada Keris Lurah, Sepukal Lurut, Tulang Bulat dan Sepukal Tulang, yang mempunyai perbezaan dari segi saiz, keluk dan pamor.

Selain pembuatan keris, beliau juga membuat bilah lelawi ayam, badik, pedang, kerambit serta tumbuk lada dan beliau turut menerima tempahan dalam talian menerusi Instagram dan Facebook.

Beliau mahu mewariskan seni pembuatan keris kepada generasi seterusnya agar pembuatan keris yang dipercayai telah wujud lebih 700 tahun lalu tidak ditelan zaman.

Di samping itu, beliau yang masih menggunakan cara tradisional menempa besi turut memohon pihak tertentu membantunya mendapatkan mesin menempa yang dianggarkan berharga RM70,000, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan setempat.

“Memang boleh jadi sumber pendapatan, contoh dengan penambahan mesin boleh digajikan dua tiga orang membantu. Kemungkinan mereka ini boleh jadi pelapis tukang keris sebab setakat ini tukang mahir cuma ada tiga empat orang sahaja di Pahang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha