Siakap Keli

KPKT Bawa Cadangan Tingkatkan Kadar Elaun Tugasan Bomba Bantuan

PEKAN, 29 Jun — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membawa cadangan bagi meningkatkan kadar elaun tugasan anggota bomba bantuan untuk dibincangkan di peringkat kabinet.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata ketika ini, anggota bomba bantuan yang terdiri daripada masyarakat setempat yang memberikan perkhidmatan, dengan dibayar RM6 sejam melibatkan syif kerja selama 12 jam.

“Pasukan lain macam (sukarelawan) polis dapat elaun RM8 (sejam). Saya tak nak jadikan ia isu besar tapi yang penting kita akan bantu cari jalan dan mereka dapat sokongan daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dekat sini, hari ini.

BBP yang mula dibina pada akhir Disember 2016 dengan peruntukan RM4.4 juta mula beroperasi sepenuhnya 1 Nov tahun lepas.           Ismail berkata beliau dan Menteri Zuraida Kamaruddin komited mencari pendekatan terbaik demi kebajikan anggota Bomba dan Penyelamat. Dan dibuktikan dengan pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan kepada 14,400 anggota pasukan mulai tahun ini.

Sumber: Bernama

Nor Azilah