Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

Pembantu Peribadi Anak Lelaki Pengasas Kosmetik Dnars Didakwa Lakukan Khianat

Kuala Lumpur: Pembantu peribadi seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling telefon bimbit jenis ‘Iphone 11 pro max’ warna hitam ke lantai sehingga pecah, milik isteri kepada bapa tiri ahli perniagaan itu.

Mohamad Alif Fahmi Haron, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mohamad Alif Fahmi adalah pembantu peribadi kepada Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 20, iaitu anak lelaki kepada pengasas kosmetik Dnars Skincare.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ke atas telefon milik Nurulain Syahirah Mat Hasmuni, 27, yang juga isteri kepada ayah tiri majikannya menyebabkan kerugian RM6,800 di ‘valet parking’ sebuah pusat membeli-belah di Bukit Bintang pada 4.15 petang, 23 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin memohon jaminan rendah kerana jaminan yang tinggi akan membebankan anak guamnya selain tertuduh juga telah direman sehari.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos untuk sebutan kes.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.