Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mesej Jangkitan Covid-19 Jemaah Masjid Bagan Dalam Adalah Palsu – Polis SPU

Butterworth: Polis mengesahkan mesej suara melalui aplikasi WhatsApp yang tular sejak semalam kononnya terdapat jangkitan pandemik COVID-19 membabitkan beberapa jemaah yang hadir di Masjid Bagan Dalam di sini, adalah palsu.

“Pihak polis telah mengadakan perjumpaan dengan pengerusi Masjid Bagan Dalam dan mengesahkan perkara itu tidak benar. Semakan kami dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga mendapati maklumat dalam mesej yang tular itu tidak betul,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai di kawasan itu supaya memadam dan tidak menyebarkan berita tidak benar itu kepada orang lain.

Noorzainy berkata polis juga telah mengenal pasti individu yang menyebarkan maklumat tidak benar itu dan usaha mengesan lelaki tersebut giat dijalankan.

“Polis turut menyiasat motif lelaki itu menyebarkan kononnya terdapat beberapa jemaah di masjid tersebut dijangkiti COVID-19 dan memberi amaran kepada orang ramai agar menjauhi kawasan Bagan Dalam. Tindakannya telah menimbulkan suasana tegang dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial untuk menularkan berita yang belum pasti kesahihannya kerana perbuatan seumpama itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.