Siakap Keli
Gambar: Bernama

Hanya Stesen Minyak Dan Kilang Dibenarkan Beroperasi Seperti Biasa Di Zon 1 Sarawak – Uggah

KUCHING, 30 Julai  — Berkuat kuasa 1 Ogos, hanya pengusaha stesen minyak dan kilang di Zon 1 yang merangkumi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian yang diletak sebagai zon merah/kuning bagi COVID-19 dibenarkan beroperasi seperti biasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bagaimanapun, beliau berkata pengusaha stesen minyak dan kilang berkenaan perlu memaklumkannya kepada JPBN.

“Tempoh masa operasi perniagaan yang lain akan dihadkan dari 6 pagi hingga 10 malam,” kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu pada sidang media harian JPBN di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Uggah berkata JPBN juga telah memutuskan bahawa semua warganegara dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memasuki Sarawak akan dipakaikan gelang tangan pengesanan COVID-19 sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Namun mereka  dikehendaki hadir untuk diambil sampel COVID-19 pada hari pertama atau hari kedua di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

“Bagi mereka dengan destinasi terakhir di kawasan pedalaman iaitu di luar Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri, akan dikuarantin dan diambil sampel ujian COVID-19 pada hari kedua. Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, barulah mereka dibenarkan balik ke rumah tanpa perlu menyambung baki kuarantin,” katanya.

Sarawak tidak merekodkan kes baharu positif COVID-19 hari ini dan jumlah kes kekal 677  dengan 19 kematian.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right