Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

12 Tahun Terpisah, Kucing Ini Ditemui Semula Selepas Hilang Lebih Sedekad

Ketika seekor kucing berusia tiga tahun bernama Georgie hilang di tapak perkhemahan Scotland pada tahun 2008, pemiliknya yang bernama Amy Davies menyangkakan bahawa kucingnya itu telah hilang selama-lamanya.

Namun apa yang membuatkannya hairan, kucingnya itu telah ditemui masih berada di kawasan tersebut 12 tahun kemudiannya.

Georgie telah dibawa mengikuti keluarga tuannya berkhemah di tapak perkhemahan Rowardennan sebelum didapati hilang.

Walaupun pencarian di sekitar tapak perkhemahan itu telah dilakukan, namun mereka masih tidak menemuinya. Susulan daripada itu, keluarga tersebut terus mengharapkan agar kucingnya itu ditemui oleh seseorang dan mereka akan segera menghubungi keluarganya.

Sepanjang Georgie berada di Queen Elizabeth Forest Park itu, dia telah diberi makan dan dijaga oleh kakitangan tapak perkhemahan dan pengunjung yang mengunjungi kawasan itu.

Ketika perintah berkurung kerana wabak COVID-19 dikuatkuasakan di kawasan itu, seorang kakitangan tapak perkhemahan tersebut telah menjumpai kucing berkenaan dan mendapati bahawa kucing tersebut kepunyaan seseorang dan berasal dari utara England selepas mikrocip yang terdapat pada kucing berkenaan diimbas oleh persatuan kebajikan haiwan.

“Kami sangat sedih apabila Georgie tidak pulang pada hari terakhir kami berada di sana.

“Ianya adalah suatu berita yang amat gembira buat kami untuk mendapati bahawa dia bukan sahaja sihat tetapi telah menikmati saat yang menggembirakan dalam hidupnya bertemu dengan pengunjung-pengunjung di sana,” kata Amy.

Lynsey Anderson, seorang petugas di pusat pengambilan Cats Protection Glasgow menyatakan: “Kami terkejut apabila melihat alamat Rochdale di mikrocip yang terdapat pada Georgie.

“Kejadian ini benar-benar membuktikan betapa pentingnya untuk memastikan butiran pada cip itu sentiasa dikemas kini.

“Tanpa maklumat itu, pastinya kami tidak dapat mengetahui berkenaan latar belakang Georgie serta menenangkan fikiran Amy untuk sekian lama.”

Walaupun nombor telefon dalam cip itu sudah tidak aktif lagi, e-mel serta surat telah diutuskan dengan harapan dapat menyatukan kembali kucing itu dengan tuannya.

Sementara menunggu tuannya itu untuk datang mengambil kucingnya kembali, Georgie dilaporkan akan terus tinggal dan dijaga di pusat perlindungan tersebut.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right