Siakap Keli
Gambar: APMM

Dua Nelayan Hanyut Hampir Tiga Hari Ditemukan Selamat

LUMUT, 11 Ogos — Selepas hampir tiga hari gagal dikesan, dua nelayan yang dilapor hilang apabila bot dinaiki mereka hanyut di tengah laut kerana kehabisan minyak, ditemukan selamat, malam semalam.

Lim Ah Che Ong, 51, dan Teong Leng Huat, 52, dijumpai oleh sebuah bot nelayan tempatan lain, kira-kira 15.5 batu nautika Barat Daya Kuala Kurau, Taiping, dekat sini.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Perak Kapten Shahrizan Raman berkata sebuah bot Kilat 30 dari Zon Maritim Kuala Kurau bergegas ke lokasi dengan membawa bekalan minyak sebaik sahaja menerima laporan berkenaan.

“Dua orang nelayan tersebut ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 11.30 malam. Mangsa dan bot kemudian diiringi ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak bagi pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Gambar: APMM

Terdahulu, Shahrizan berkata pihaknya telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengatur gerak aset Kapal Maritim (KM) Tugau selepas dilaporkan hilang pada petang Sabtu lepas.

“Kita melakukan pencarian menjangkau sehingga 130 batu nautika persegi dari Pantai Remis dan operasi ini juga turut dibantu oleh beberapa bot nelayan tempatan,” katanya.

Shahrizan turut menasihati nelayan dan komuniti maritim agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut.

Gambar: APMM

Sumber: BERNAMA, APMM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.