Siakap Keli
Foto: Bernama

Tiga Termasuk Dua Warga Thai Maut Dalam Kemalangan Di Kuala Krai

KOTA BHARU, 12 Ogos – Tiga lelaki termasuk dua warga asing maut selepas Mitsubishi Triton yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan berdekatan Kampung Pahi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata identiti mangsa yang terbunuh adalah seorang lelaki berusia 21 tahun berasal dari Tumpat manakala dua lagi warga asing itu berasal dari Thailand.

Beliau berkata sebuah lagi kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki oleh dua wanita turut terbakar 100 peratus selepas gagal mengelak dan turut melanggar lori yang sama.

Katanya dalam kemalangan itu, pemandu lori dan kedua-dua wanita yang menaiki Proton X70 terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu termasuk dakwaan adanya objek yang dikatakan tayar lori tercabut. Kita juga akan mengenal pasti identiti dua warga Thailand yang maut dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Che Razak Harun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.54 pagi sebelum lapan anggota dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi.

Katanya, kemalangan yang berlaku itu membabitkan enam mangsa daripada tiga kenderaan iaitu sebuah lori, Mitsubishi Triton dan Proton X70.

“Kemalangan berlaku apabila Mitsubishi Triton dikatakan terbabas ke sebelah kanan jalan bertentangan dan merempuh sebuah lori.“Sebuah Proton X70 yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan turut berlanggar dengan lori berkenaan dan terbakar 100 peratus,” katanya.

 

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang