Banyak Kerbau Mati Mengejut, Bukan Kejadian Pertama Tahun Ini – Veterinar

KUALA TERENGGANU, 14 Sept (Bernama) — Kejadian kerbau mati secara mengejut sepertimana yang menimpa keluarga ‘Kampong Boy’ bukanlah yang pertama di Terengganu tahun ini, malah penternak lain turut menerima nasib hampir sama.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Tarmizi Ghazali berkata pada 9 hingga 28 Ogos lepas, seramai 13 penternak turut diuji dengan musibah itu, melibatkan kematian 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu, di Kampung Tuman Jerong, Marang.

Beliau berkata pihaknya mengesan terdapat jangkitan penyakit hawar berdarah atau ‘hemorrhagic septicemia’ pada haiwan berkenaan dan susulan itu, operasi penvaksinan dilakukan bermula 30 Ogos di 12 kampung, ke atas 675 ekor lembu dan 58 kerbau, milik 106 penternak.

Namun, Dr Mohd Tarmizi berkata bagi kes kematian 36 ekor kerbau milik keluarga ‘Kampong Boy’ atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 15, ia masih terlalu awal untuk diputuskan kerana pihaknya sedang menunggu keputusan ujian sampel haiwan berkenaan daripada pihak makmal.

“Daripada bedah siasat yang dibuat didapati terdapat radang paru-paru dan jantung bengkak pada kerbau milik Khamis Jusoh (bapa Muhammad Syukur). Ia mempunyai ciri-ciri hawar berdarah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Penyakit ini dikatakan berpunca daripada bakteria ‘pasteurella multocida’ yang boleh menyebabkan kematian serta-merta pada haiwan dan mudah berjangkit manakala tanda-tanda awal penyakit ialah demam, panas dan sakit pada bahagian leher, tiada selera makan, sugul, pernafasan menjadi kencang, sakit mata dan air liur keluar dengan banyak.

Dr Mohd Tarmizi berkata pemilik haiwan ternakan perlu mengasingkan haiwan yang dijangkiti dan memaklumkan kepada JPV untuk diberi suntikan vaksin kepada haiwan yang berada di kawasan dijangkiti bagi mencegah penularan.

— BERNAMA

Dapatkan kelengkapan elakkan Covid 19 di SINI

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Tambah komen

Dari Wiser.my