Siakap Keli
Gambar: Google

“Kenyataan Tidak Bertanggungjawab & Tidak Boleh Diterima Sama Sekali…”- Markas ATM

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang didakwa mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013 lalu sebagai satu sandiwara.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM berkata, kenyataan anggota ATM yang dikatakan hanya membuat serangan kepada ayam anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar.

“Tuduhan itu juga memperlekehkan tugas dan serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.

“Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, rakyat di negara ini diingatkan agar tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.

“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama,” tambah kenyataan itu lagi.

Pihak Markas ATM berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat seorang ahli politik baru-baru ini berhubung insiden Lahad Datu tersebut.

Sumber: Markas Angkatan Tentera Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.