Siakap Keli
Kredit: Google

Diperdaya Sindiket ‘Parcel Scam’, Kerani Bank Rugi RM65,700

KEPALA BATAS, 30 Sept (Bernama) — Seorang kerani bank wanita kerugian RM65,700 selepas ditipu sindiket parcel scam yang mendakwa mangsa menerima bungkusan mengandungi pelbagai barangan berharga dan wang tunai dalam kejadian di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 46 tahun itu memaklumkan menerima kiriman bungkusan hadiah dari seorang lelaki dipercayai dari London yang dikenali melalui laman sosial Facebook, sebelum mereka bertukar-tukar nombor telefon dan meneruskan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa memaklumkan lelaki yang dikenali sejak 18 Ogos itu telah menghantar bungkusan hadiah kepadanya baru-baru ini, sebelum mangsa dihubungi seorang wanita mengaku sebagai pekerja sebuah syarikat penghantaran dan memaklumkan bungkusan itu menyalahi undang-undang.

“Ia berikutan bungkusan itu mengandungi duit pelbagai mata wang dan barangan kemas dan mangsa perlu membayar sejumlah wang sebelum boleh mendapatkan bungkusan hadiah tersebut, jika tidak ia akan menjadi kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata mangsa yang terperdaya telah melakukan sembilan transaksi sejak 24 Sept lalu hingga semalam ke dalam dua akaun yang diberikan suspek membabitkan wang RM65,700, sebelum menyedari dia ditipu dan telah membuat laporan polis, semalam.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk mengesan ahli sindiket dan pemilik-pemilik akaun digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya seorang suri rumah dan pesara masing-masing kerugian RM3,000 dan RM7,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam dan syarikat pelaburan saham, di sini, baru-baru ini.

Katanya, suri rumah berusia 28 tahun itu diperdaya Macau Scam kononnya sindiket berkenaan telah tersalah mendaftarkan nombor telefon bimbit untuk perbankan dalam talian menggunakan nombor mangsa dan nombor TAC telah dihantar kepada wanita tersebut bagi urusan perbankan.

“Mangsa yang percaya telah memberikan nombor TAC sebelum mendapati wang simpanan RM3,000 dalam akaunnya telah hilang manakala pesara itu kerugian RM4,000 selepas terpedaya untuk menyertai pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat,” katanya menambah ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.