Siakap Keli

Disney AS Dilapor Akan Membuang 28,000 Orang Pekerja Kerana Terjejas Dengan COVID-19

Disney dilapor akan membuang seramai 28,000 orang pekerjanya di Amerika Syarikat (AS),  dalam usahanya untuk terus bertahan di tengah-tengah tekanan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Bagaimanapun menurut laporan CNN, sekurang-kurangnya 67 peratus daripada jumlah berkenaan bakal ditawarkan kembali untuk bekerja secara sambilan.

Taman tema dan resort Disney di AS ketika ini mempunyai lebih 100,000 orang pekerja.

Sebelum ini, beberapa taman tema dan resort Disney yang berada di beberapa negara terpaksa ditutup selepas terjejas teruk dengan situasi semasa COVID-19. Malah, syarikat berkenaan dilaporkan mengalami penurunan keuntungan sehingga 91 peratus dalam tempoh 3 bulan pertama 2020.

Menurut Pengerusi Taman Tema Disney, Josh D’Amaro, keputusan ini terpaksa diambil setelah mengambil kira impak berpanjangan pandemik kepada perniagaan selain syarikat perlu mematuhi SOP seperti amalan penjarakan fizikal dan ketidakpastian bila pandemik ini akan berakhir.

Syarikat itu antara lain turut menyalahkan keengganan kerajaan tempatan California untuk menarik balik perintah sekatan yang mana jika ditarik akan membenarkan Disney kembali beroperasi. Disneyland and California Adventure, salah satu taman tema utama Disney, yang terletak di California ditutup sejak Mac lalu.

Sumber: CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.