Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Keputusan Ujian Kedua Covid-19 Exco Pahang Negatif

KUANTAN, 30 Sept (Bernama) — Keputusan ujian saringan kedua menerusi kaedah ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) terhadap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang negatif COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah kepadanya pagi ini, selepas Nazri menjalani ujian kedua bagi mengesan virus itu, semalam.

“Saya juga dimaklumkan bahawa daripada keputusan itu, semua mereka yang terlibat dengan Nazri sebelum ini, tiada risiko dijangkiti,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini sebagai mengulas dakwaan mengenai seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang dari Jerantut disahkan positif COVID-19 semalam dan telah dibawa oleh Jabatan Kesihatan untuk rawatan susulan di sebuah hospital.

Nazri adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, dalam daerah Jerantut dan setakat semalam, Jerantut mencatatkan empat kes positif COVID-19 yang dikesan pada 25 dan 27 Sept.

Sejak itu, semua Exco Pahang mengambil inisiatif melaksanakan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan ujian saringan kedua memandangkan mereka semua ada bertemu dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu, Wan Rosdy semasa dihubungi Bernama berkata sebagai langkah berwaspada, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, hari ini akan berlangsung secara dalam talian.

“Ini hanya sebagai langkah berwaspada kerana ini menjadi amalan kita sejak awal pandemik. Malah, kita juga dari awal sudah mewajibkan Exco yang ke Sabah untuk membuat ujian saringan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sebaik sahaja tiba di Semenanjung,” katanya.

Wan Rosdy juga merayu kepada rakyat Pahang untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara kerana pandemik COVID-19 di Malaysia masih belum berakhir.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.