Siakap Keli
Gambar: Nik Mohd Faizal

Lelaki Kongsi Pentingnya Isi Borang Waranti, Nyaris ‘Melayang’ RM 800 Nak Baiki Mesin Basuh Rosak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kalau membeli sesuatu barangan elektrik, pasti setiap pembelian itu akan disertakan sekali dengan borang waranti.

Seperti semua tahu, salah satu kepentingan waranti ini adalah sekiranya berlaku kerosakan, kita boleh ‘menebus’ kerosakan itu menggunakan waranti tersebut dan barang boleh dibaiki dengan kadar percuma.

Berbaloi kan? Itulah sebabnya kenapa kita kena isi borang waranti setiap kali selepas membeli apa-apa barang.

Macam yang terjadi kepada Nik Mohd Rizal ini, beliau berkongsi pengalamannya dapat baiki mesin basuh miliknya yang rosak secara percuma hanya melalui waranti online.

Mari ikuti perkongsiannya di group Facebook Tukang Apa Hari Ini di bawah ini.

Gambar: Nik Mohd Rizal

Saya nak kongsikan kepentingan mengisi borang warranty online bila membeli barangan elektrik.

Mesin basuh di rumah saya sudah seminggu lebih berbunyi seperti kapal terbang sedang berlepas setiap kali berpusing untuk mengering. Jiran-jiran saya tentunya ketakutan.

Mesin basuh brand Hitachi itu sudah berusia lebih lapan tahun dan tentunya sudah lama habis tempoh waranti. Resit pembelian dari kedai pun entah di mana saya letak.

Saya fikir mungkin sudah sampai hayatnya dan mungkin kena beli mesin basuh yang baru.

Gambar: Nik Mohd Rizal

Saya check di Youtube dan mendapat tahu yang masalah bunyi bising itu kemungkinan berpunca daripada bearing yang rosak. Rupanya mesin basuh pun macam kereta ada bearing.

Saya check di webpage Hitachi dan menghantar emel kepada Customer Service untuk mendapat maklumat berkenaan masalah bearing mesin basuh Hitachi dan bertanyakan tempat yang recommended untuk membaikinya.

Selang beberapa hari, mereka menghubungi saya dan memaklumkan bearing itu adalah sebahagian daripada motor inverter yang berharga lebih kurang RM800 yang perlu diganti.

Biar betul RM800! Tambah sikit lagi boleh beli mesin baru ni!

Gambar: Nik Mohd Rizal

Namun motor itu dilindungi warranty selama 10 tahun dan ini bermakna mesin basuh saya masih dilindungi. Saya memberitahunya kad waranti dan resit pembelian sudah hilang entah ke mana.

“Encik cuba check di webpage Hitachi dulu, mungkin encik pernah isi borang waranti secara online lapan tahun dulu,” katanya memberi sedikit harapan kepada saya.

Memang benar! Rupa-rupanya saya pernah mengisi maklumat pembelian mesin basuh Hitachi dulu secara online lapan tahun yang lalu selepas membuat pembelian dan ini membolehkan motor inverter yang berharga hampir RM800 itu diganti secara percuma!

Mengisi borang waranti di kad waranti atau secara online mungkin sedikit menjengkelkan.

Saya mengajak saudara semua agar menjadikan tabiat mengisi borang online waranti itu sebagai rutin setiap kali kita membeli barangan elektrik.

Ia mungkin mengambil sedikit masa namun percayalah, bila terjadi kes seperti mesin basuh saya yang rosak bearing ini, ianya sangat berbaloi-baloi. Jimat RM800!

Gambar: Nik Mohd Rizal

 

Sumber: Nik Mohd Rizal

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'