Gambar Via CNN

Bayi Dilapor Terputus Kepala Ketika Lahir Secara Normal Di Brazil

Mengejutkan, kepala seorang bayi dilaporkan telah terputus semasa proses kelahirannya.

Menurut The Sun, polis sedang menyiasat mengenai kejadian tersebut yang menyaksikan wanita berusia 26 tahun sepatutnya melahirkan anaknya melalui pembedahan caesarean dan bukannya secara normal.

Kejadian yang berlaku di hospital Santa Casa de Misericordia di bandar Belem, Brazil itu berlaku pada Jumaat lalu.

Ahli keluarga wanita yang tidak didedahkan namanya memberitahu media tempatan bahawa wanita tersebut dinasihatkan untuk menjalani pembedahan secara caesarean kerana menghadapi masalah kesihatan pada janin.

Pun begitu, dia mendakwa bahawa doktor di hospital itu tetap melakukan proses bersalin secara normal.

Suami kepada wanita itu mengatakan bahawa isterinya hamil lapan bulan dan telah dibawa ke hospital dari bandar Ourem dengan ambulans kira-kira jam 6 pagi.

“Doktor dari Ourem menghantarnya ke Belem dengan surat yang menyatakan bahawa bayi itu hanya dapat dilahirkan melalui pembedahan,” katanya.

Menurut laporan polis, wanita itu menunggu lebih dari tiga jam sebelum dibawa ke bilik bersalin untuk melahirkan secara normal.

“Doktor di sana tidak mendengar nasihat supaya isteri saya menjalani pembedahan caesarean dan mereka menarik bayi kami dengan sangat kuat sehingga kepalanya terputus dari badan dan kemudiannya terjatuh ke lantai,” ujar suami wanita itu.

Wanita itu kemudian dibius sebelum dibedah untuk mengeluarkan anggota badan bayi tersebut. Dia dilaporkan telah mengetahui bahawa anaknya meninggal dunia namun tidak dimaklumkan mengenai kejadian tragis itu.

Sumber: The Sun

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: Fazidi

Tambah komen