Siakap Keli

(Video) “Inilah Pilihan Terakhir…”, Demi Rawat Anak, Mak Ayah Tekad Redah Hujan Lebat Dari Perak Ke HKL Naik Motosikal Bertiga

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebagai ibu bapa, tiada apa yang lebih penting, bernilai dan berharga di dunia ini selain anak-anak dalam pangkuan sendiri.

Biarlah sakit, penat, lelah dan tersungkur sekalipun, anak tetap menjadi keutamaan paling hakiki dalam jiwa sanubari.

Seperti apa yang dilalui puan Nur Natasya, semalam dia, suami dan anak mereka baru sahaja ‘menikmati’ fasa getir dalam satu perjalanan yang jauh dari Perak ke Kuala Lumpur.

Masakan tidak, mahu tidak mahu mereka terpaksa berkorban demi nyawa yang lebih penting.

Mari ikuti kisah menyentuh hati ini.

Kredit gambar: Nur Natasya

Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan kami semalam dari Perak ke KL. Syukur ya Allah.

Bertolak pukul 3.30 petang sampai dalam pukul 9.00 malam lebih.

Satu-satu pilihan yang tinggal untuk bawa Mardhiah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sebelum ada yang tersasar jauh dengan soalan-soalan..maafkan kami jika kami terlihat seperti ibu bapa yang tak cukup baik. 

Inilah piliham terakhir kami semalam selepas terjadi beberapa masalah tak dapat dielakkan.

Hujan lebat sebelum sampai R&R Ladang Bikam. Berhenti untuk berteduh dan ganti baju Mardhiah, lap-lapkan badan dia sambil-sambil doa kat Allah supaya Allah pelihara kesihatan Mardhiah.

Selepas Ladang Bikam sehingga ke Behrang, mama ganti bawa motor dengan papa supaya papa boleh berehat sekejap setelah perjalanan yang lama.

Alhamdulillah selepas R&R Behrang, ada dua orang abang naik 4×4 tahan suruh berhenti kat tepi highway. Tanya nak pergi mana, dari mana.

Diorang terkejut dan tumpangkan kami sehingga ke HKL. Walaupun masing-masing tak yakin boleh lepas kat roadblock Tol Jalan Duta atau tak.

Sampai di Tol Jalan Duta sekali lagi Allah permudahkan. Thank you abang polis mudahkan urusan kami.

Dan terima kasih pada yang menaja hotel OYO kepada kami untuk tiga hari dua malam. Pada yang bantu kami untuk servis motor sebelum gerak petang semalam, kepada abang Alza, terima kasih juga sedekahkan kat Mardhiah duit belanja.

Sambil lalu kat sebelah kami, Mardhiah duduk sebelah mama, papa pergi beli roti. Tiba-tiba dengar Mardhiah bye-bye orang, toleh-toleh ada abang naik Alza bye-bye dia, tengok-tengok kat tangan Mardhiah ada duit. Abang tu jerit “Takpe abang sedekah”. Allahu.

Doa sungguh-sungguh Insya-Allah Allah makbulkan. Walaupun ada sekali terpaksa lalu hujan lebat sebelum sampai tempat berteduh, tapi Allah ganti dengan orang yang berhati mulia. Tak kenal tapi sudi tolong kami.

Kepada abang-abang yang bawa 4×4 yang tumpangkan kami semalam dan kepada abang Alza serta orang-orang yang bantu kami saat kami memang sangat memerlukan dengan keadaan sekarang.

Terima kasih sangat-sangat dan kami sekeluarga akan sentiasa doakan supaya Allah lindungi kalian, semoga Allah permudahkan segala urusan dunia akhirat kalian, semoga Allah murahkan rezeki kalian sekeluarga. Aamin ya Rabb..

Dari Ladang Bikam ke HKL, ini kisah sebenarnya

Gambar: Nur Natasya

Di kesempatan ini, Siakap Keli (SK) mengambil peluang bertanyakan kepada puan Natasya beberapa perkara yang mungkin ramai tidak tahu tentang situasi sebenar dilalui mereka.

Jelas puan Natasya, sebenarnya tujuan Mardhiah dibawa ke HKL adalah atas urusan rawatan dan perubatan terhadap kondisi kesihatannya.

“Setiap dua minggu dia kena masuk pembedahan untuk prosedur suntikan steroid ke dalam mata kiri.

“Mardhiah menghidapi kanser mata dan beberapa lagi penyakit kronik. Dia ada penyakit yang jarang dihidapi, iaitu Chromosome 13Q Deletion Syndrome yang menyebabkan dia dapat penyakit-penyakit lain,” katanya ketika dihubungi SK hari ini.

Dalam pada itu, Mardhiah juga turut menghidapi beberapa penyakit lain seperti jangkitan kuman yang kronik dalam telinga dan penyakit paru-paru kronik.

“Dia juga seorang orang kelainan upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP).

“Sejak umur tiga bulan saya baru dapat tahu dia CP dan menghidap kanser. Selepas itu satu-satu penyakit lain datang,” tambahnya lagi.

 

 

Kenapa motosikal? Kenapa tak naik kereta?

Jelas puan Natasya seperti yang diceritakan pada awal, hanya motosikal itulah satu-satunya pilihan yang mereka ada.

“Sebelum PKP ada naik bas, cuma PKP ini susah sikit. Sebab Mardhiah banyak penyakit kronik kan.

“Jadi agak bahaya untuk dia jugalah, lagi-lagi kes COVID-19 masih banyak,” jelasnya.

Selain itu, kereta sewa juga sudah mereka cuba sebagai alternatif, namun tidak berhasil atas beberapa faktor lain yang berkaitan dengan kekangan PKP ketika ini.

Jadi dengan penuh tekad dan tawakkal yang tinggi, dengan jentera dua rodalah itulah mereka bersama-sama meredah terik panas mentari dan hujan lebat, semata-mata untuk ke hospital demi tanggungjawab kepada anak tercinta.

 

 

Kini, mereka bertiga masih berada di KL dan Sabtu nanti baru mereka akan pulang semula ke Ladang Bikam, Perak.

Difahamkan, Mardhiah akan dimasukkan ke wad pada esok dan akan menjalani pembedahan suntikan streoid tersebut pada Jumaat nanti.

Marilah sama-sama kita doakan agar pembedahan Mardhiah ini dipermudahkan, sekaligus doakan juga agar kesihatannya akan bertambah baik satu masa nanti. Ameen.

Sumber: Nur Natasha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'