Siakap Keli
Kredit gambar: Google

“Saya Mohon Maaf…”, Disebalik Tawa Penonton, Rowan Atkinson Luah Pernah Tak ‘Gembira’ Bawa Watak Mr. Bean

Di sebalik gaya kelakar, memek muka dan aksi ‘bodoh’ yang dilakonkan, Rowan Atkinson atau lebih dikenali sebagai Mr. Bean mengakui bahawa bukan mudah untuk menjayakan perkara itu demi membuat orang terhibur.

Hakikatnya, Rowan turut mendedahkan bahawa usaha untuk menjayakan watak lucu Mr. Bean (secara tanpa suara) agak sukar hingga dia pernah berasa tertekan ketika penggambaran.

Walaupun siri berkenaan sangat berjaya, namun beliau mengakui tidak terlalu enjoy ketika menghasilkan Mr. Bean.

“Saya mohon maaf, kerja di dunia perfileman ini sangat-sangat merunsingkan, dan Mr. Bean pun sama kerana ia penuh tekanan dan cabaran untuk memastikannya menjadi kelakar, sangat berat.

“Sudah tentu, anda mendapat sokongan daripada pelakon hebat lain, namun untuk memastikan lawak itu menjadi atau tidak, ianya bergantung pada saya. Ianya sungguh membebankan,” katanya dalam satu temubual mengenai rancangan dokumentari Happy Birthday Mr. Bean.

Rowan Atkinson dilaporkan akan muncul semula ke kaca televisyen dalam rancangan dokumentari tersebut yang disiarkan di ITV bersempena dengan sambutan 30 tahun kariernya sebagai pelakon komedi ‘Mr. Bean’.

Dalam dokumentari itu, penonton bakal dipaparkan dengan perjalanan Rowan sepanjang 30 tahun memainkan watak Mr. Bean dalam siri sitkom, beberapa siri animasi serta filem-filem di layar perak.

Kredit gambar: Google

“Hanya dengan 14 episod, kita akan mengeksplorasi keajaiban yang ada di sebalik watak Mr. Bean ini, di mana ia telah menjadi ikon komedi terkenal yang masih lagi membuat orang ketawa hingga hari ini.

“Dengan beberapa klip klasik dan temubual bersama pencipta utama termasuk Rowan sendiri, (dokumentari ini) akan menceritakan bagaimana Mr. Bean menjadi ‘super star’ yang membintangi animasi dan filem dengan lebih 110 juta peminat,” kata penerbit dokumentari tersebut, memetik laporan Wales Online.

Sementara itu, sitkom humor yang dibawakannya berkisarkan tentang kehidupan Mr. Bean yang biasanya berakhir dengan situasi lucu, Rowan mengatakan bahawa ‘Mr. Bean’ dalam dirinya adalah ibarat ‘seorang kanak-kanak di dalam tubuh lelaki dewasa’.

“Dalam semua bangsa dan budaya, tingkah laku kanak-kanak adalah cenderung untuk sama dan ia mudah dikenal pasti dan ditertawakan,” katanya mengenai rahsia kejayaannya dalam karakter Mr. Bean.

Menurut laporan itu, rancangan dokumentari tersebut bakal disiarkan pada sambutan perayaan Krismas ketika musim sejuk Disember ini.

Sumber: Wales Online, The Sun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'