Siakap Keli
Kredit gambar: Google

(Video) Penyelidik Jepun “Modified” Lipas Jadi Cyborg, ‘Diupah’ Jadi Pembantu Rumah

Kumpulan penyelidikan dari University of Tsukuba, Jepun iaitu Digital Nature Group menghasilkan inovasi baharu dengan memodifikasi lipas jenis Madagascar menjadi cyborg sebagai ejen pembantu rumah.

Dinamakan sebagai Calmbots, tubuh lipas tersebut dipasang dengan elektrod, cip antena, bateri dan pixel yang diikat di belakangnya untuk dijadikan paparan.

Berfungsi sebagai ejen pembantu rumah, lipas cyborg itu berupaya mengangkut barang di sekitar kawasan rumah, melukis lukisan di atas kertas, mengesan bunyi, bekerja seperti tentera semut dan sebagainya.

Kenapa lipas Madagascar?

Memetik laporan Daily Mail, lipas jenis Madagascar dipilih adalah kerana keupayaan pertahanan, pergerakan, kekuatan serta kemampuan untuk berselindung yang dimilikinya.

“Ketika bekerja, lipas cyborg ini akan muncul dari mana-mana sahaja, lalu akan melakukan kerja-kerja mereka tanpa kita sedari, kemudian akan bersembunyi kembali,” kata kumpulan penyelidik tersebut.

Lipas jenis Madagascar | Kredit gambar: Google

Difahamkan, selepas dimodifikasi menjadi cyborg, kumpulan berkenaan telah menjalankan ujian ke atas lipas tersebut melalui permukaan dinding, tikar permaidani dan lantai dengan kabel.

“Kami juga mengawal kerja-kerja lipas itu dengan berkesan, melalui tapak pusat kawalan yang mirip dengan cara kawanan semut bekerja.

“Jika ada lipas yang di luar kawalan (tidak bekerja), maka kami akan gantikan dengan lipas-lipas lain,” katanya, memetik laporan tersebut.

Selain itu, lipas cyborg ini direka dengan algorithma spesifik yang membolehkannya menangani sebarang kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan lipas lain.

Direka menjadi unit risikan

Tidak hanya berfungsi sebagai pembantu rumah, ada kumpulan penyelidik lain sedang merangka keupayaan baharu lipas cyborg ini untuk menjadikannya sebagai unit pengintip dan risikan, sekaligus dapat melindungi rumah daripada sebarang ‘musuh’.

Kumpulan kejuruteraan elektrik dari North Carolina State University percaya bahawa lipas cyborg ini boleh digunakan untuk membuat tinjauan di lapangan, seterusnya akan dihantar ke zon bencana bagi mengesan mana-mana mangsa (individu) yang terperangkap.

Calmbots yang dipasang pen penanda untuk melukis | Kredit gambar: Digital Nature

Usaha ini bertepatan dengan rekaan teknologi yang dibangunkan pada tubuh lipas cyborg ini, berikutan ia dipasang dengan alat kawalan di belakang badannya.

Tidak kurang juga, di belakangnya juga turut dilengkapi dengan tiga mikrofon yang berfungsi untuk mengesan arah bunyi bagi ‘membawanya’ menuju ke tempat bunyi tersebut.

Difahamkan, ada juga unit lipas cyborg yang dipasang dengan satu mikrofon untuk menangkap sebarang bunyi dari mana-mana arah, di mana ia boleh dikawal dan dihantar transmisinya secara tanpa wayar.

Ini sebagai satu alternatif untuk pekerja kecemasan pada masa depan.

Di bawah ini adalah video keluaran Digital Nature Group mengenai Calmbots ini:

 

Sumber: 9GAG, Digital Nature Group, Daily Mail

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'