Siakap Keli
Gambar Via Mirror

Anjing Ini Dikatakan Boleh Mengesan Virus Covid-19 Sebanyak 94% Secara Tepat

Anjing di Jerman ini mempunyai kemampuan yang luar biasa apabila dikatakan boleh mengesan dan menghidu bau coronavirus bagi manusia yang telah dijangkiti, kata doktor haiwan di Jerman.

Doktor haiwan di Jerman mengakui telah melatih anjing untuk mengesan dan menghidu coronavirus dalam satu sampel air liur manusia dengan ketepatan sebanyak 94%.

“Anjing ini memang dilatih untuk menghidu dan mengesan virus corona yang berasal daripada sel orang yang telah dijangkiti”, kata Esther Schalke, doktor haiwan di Jerman.

Pengarah klinik haiwan, Holger Volk berkata “Kami telah melakukan kajian kepada anjing untuk menghidu sampel dari pesakit positif Covid-19 dan kami jangkakan bahawa mereka mempunyai 94% untuk menghidu bau virus tersebut.”

Dua ekor anjing yang diberi nama Filou yang berusia 3 tahun dan Joe Cocker yang berusia 1 tahun sedang dilatih untuk menghidu dan mengesan coronavirus. Mereka melatih anjing tersebut di Universiti Perubatan Veterinar di Hanover.

“Jadi, anjing sebenarnya memang boleh menghidu dan mengesan orang yang terkena jangkitan atau tidak mempunyai jangkitan, serta mereka juga boleh menghidu pesakit covid tanpa mengetahui gejala dan simptom.” katanya.

Perdana Menteri Lower Saxony iaitu Stephan Weil mengatakan dia begitu kagum dengan kajian itu dan meminta satu ujian pengesahan dan kelayakan sebelum anjing tersebut digunakan dalam kehidupan seharian manusia.

Kajian yang sama juga berlaku di Finland, beberapa ekor anjing juga dilatih bagi mengesan coronavirus untuk menghidu sampel penumpang di lapangan terbang Helsinki-Vantaa Finland pada bulan September yang lalu. Ia merupakan projek dan ujian yang luar biasa yang dijalankan di lapangan terbang.

Sumber : Mirror