Siakap Keli

Dah 2021 Tapi Masih Ada Yang Pelik Salji Turun Di Arab Saudi, Ini Fakta Anda Perlu Tahu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kejadian ini bukanlah baru pertama kali, ketika dunia dilanda salji dan ais di kebanyakan kawasan pada Januari lalu, gurun di Afrika dan Arab Saudi turut tidak terkecuali. Masyarakat dunia menganggap ianya pelik tetapi benar.

Kadang-kadang ianya hanyalah satu gambaran di mana Arab Saudi kering, panas dan berpasir. Tidak peliklah kalau datangnya salji di tanah Arab, orang ramai banyak memikirkan petanda negatif.

Bagi menjelaskan perkara ini, satu perkongsian menarik daripada salah seorang pengguna Facebook, Muhammad Syafiq telah menerangkan kenapa tanah Arab turun salji. Mungkin penjelasannya kali ini dapat mengubah corak pemikiran orang ramai tentang struktur cuaca di sana.

Sudah tahun 2021 masih ada yang pelik apabila salji turun di Arab Saudi.

Rasa pelik sebab apa ?

Sebab daripada kecil sudah diterapkan di dalam fikiran kebanyakkan orang bahawa di Arab Saudi itu muka Buminya hanya berpadang pasir tanpa pemandangan menghijau serta keadaan yang sentiasa panas sejak dahulu lagi.

Bila ada berita turunnya salji dan adanya kawasan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau di sana , dia rasa pelik dan rasa seolah-olah ia mustahil berlaku. Yang saya pelik, orang luar Arab Saudi pula yang ‘over’ keluarkan bermacam-macam andaian.

Arab Saudi memang panas dan berpadang pasir tetapi tidak kesemua kawasan berpadang pasir dan cuacanya panas terik sepanjang tahun.

Arab Saudi merupakan negara Subtropika. Jadi, di sana juga selain mengalami musim panas, ia turut mengalami musim sejuk.

Ketika musim panas, terdapat kawasan yang mencapai suhu melebihi 50°C, manakala ketika musim sejuk, suhu boleh jatuh sehingga bawah 0°C di sebahagian kawasan dan salji juga boleh terbentuk terutama ketika udara sejuk dari kutub utara menerobos jauh ke selatan disebabkan melemahnya arus jet.

Bahagian utara Arab Saudi seperti Tabuk, Turaif, tanah tinggi dan pergunung seperti di bahagian barat-barat daya antara kawasan yang biasa dituruni salji dan terbentuknya fros ketika musim sejuk.

Purata taburan hujan tahunan di kebanyakkan kawasan pula adalah rendah dan sederhana kecuali di sebahagian kecil kawasan barat dan utara serta barat daya Arab Saudi yang menerima taburan hujan yang tinggi.

Taburan hujan tahunan yang tinggi dan sederhana inilah yang mendorong tumbuhan menghijau di sebahagian kawasan.

Antara kawasan yang memiliki muka Bumi yang menghijau di Arab Saudi adalah di wilayah Asir yang terkenal dengan kawasan yang dikenali sebagai Wadi al-Bardani.

Wadi al-Bardani merupakan antara kawasan paling subur dan terkenal dengan keindahan muka Buminya. Ia terletak di Bareq, utara Mahayil, Wilayah Asir.

Wilayah Asir merupakan wilayah yang menerima taburan hujan yang tinggi setiap tahun akibat pengaruh musim monsun. Wallahu A’lam .

 

Sumber: Muhammad SYafiq

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang