Siakap Keli
Gambar: Coast Capture Air

Boleh Buat Cenderahati, Syarikat Ini Jual ‘Udara Segar’, Harga Sebotol Lebih RM400

Sebuah syarikat di UK telah mencetuskan kontroversi dalam internet kerana menjual botol kaca yang diisi dengan “udara segar” berharga $ 105 (RM 427.77) bagi setiap botol, lapor Oddity Central.

Syarikat Coast Capture Air mula membotolkan udara segar dan menjualnya sebagai cenderahati dan titik bicara mengenai kepentingan udara bersih di era moden.

Pun begitu, ramai orang dari kawasan yang tercemar di seluruh dunia dilaporkan membeli botol ini untuk tujuan praktikal iaitu menghirup udara yang terdapat di dalam botol itu setiap hari.

Mereka memberitahu kepada syarikat itu bahawa ianya membantu mengatasi kesan berbahaya dari pencemaran udara.

Untuk makluman, syarikat Coast Capture Air ini berbeza sedikit dengan syarikat lain yang turut menjual udara segar.

Anda mungkin pernah mendengar jenama Vitality Air, yang menjual udara segar dalam tin dari Canadian Rocky Mountains, atau Air de Montcuq, yang menjual udara dari kawasan luar bandar Perancis.

Dua syarikat ini adalah antara syarikat yang pernah mendapat liputan di Oddity Central sebelum ini, namun apa yang membezakannya dengan syarikat Coast Capture Air adalah merupakan harganya.

Lebih dari $ 100 (RM 407.40) untuk sebotol 700ml yang diisi dengan udara seakan tidak masuk akal. Dikatakan, syarikat Coast Capture Air berusaha untuk memastikan bahawa kandungan udara yang terdapat dalam botol yang dijualnya hanyalah kualiti udara yang terbaik di pantai di seluruh Cornwall.

“Setiap botol kaca khas Coast Capture Air mengandungi udara persisir pantai yang segar dalam bentuk yang terbaik, terus dari alam semula jadi,” nyata syarikat itu di laman webnya. “Lokasi udara yang kami pilih biasanya di luar bandar, tidak tercemar serta terpencil dan sukar dijangkau. Disebabkan itulah, koleksi kami ini sangat berkualiti dan luar biasa.”

“Kami telah meneroka ke seluruh Great Britain. Kami mengunjungi lokasi terpencil dengan keindahan alam semula jadi yang luar biasa. Dari situ kami mengisi udara yang paling bersih,” dakwa Coast Capture Air.

“Banyak faktor yang membezakan kami dengan syarikat yang serupa. Kami memantau dan mengawasi setiap botol yang kami isi. Kami menggunakan peralatan yang sangat sensitif untuk memastikan kualiti setiap botol kami. Oleh itu, isian kami sangat unik dan berkualiti tinggi.”

Menariknya, laman web Coast Capture Air bahkan mempunyai bahagian yang memperincikan cara terbaik untuk menyedut udaranya itu. Caranya ialah, anda haru mencari tempat yang tenang, sunyi, bersihkan ringga hidung anda, dan bernafas dari diafragma, bukan dari dada, dan pastikan anda meletakkan gabus kembali setelah menyedutnya agar kandungan yang mahal itu tidak terbuang.

Pada harga $ 105 (RM 427.77) sebotol, Coast Capture Air adalah merupakan udara dalam botol yang termahal pernah ditemui. Nombor satu adalah Genuine Mountain Air dari Switzerland, perniagaan yang diasaskan oleh ekspatriat Inggeris, yang menjual udara gunung Switzerland yang diambil dari lokasi rahsia di Pengunungan Alps dengan harga $ 167 (RM 680.36) sebotol.

Sumber: Oddity Central

Aqmal Ezany

I write what is right