Siakap Keli

(Video) Kelibat Sosok Wanita Misteri Ketika Operasi Pencarian Mangsa Kemalangan Gemparkan Penduduk

Pencarian seorang penunggang motosikal yang terjatuh bersama keluarganya di jambatan Tukad Petanu, Ubud, Gianyar, Bali, dilaporkan belum lagi membuahkan hasil sehingga Isnin lalu.

Kini bahkan muncul pula peristiwa tular yang menyusul yang membabitkan sosok seorang wanita berambut panjang di tengah sungai yang dikatakan ‘keras’ oleh warga setempat.

Penampakan sosok wanita tersebut telah menggemparkan warga setempat yang datang ke lokasi pencarian untuk melihat proses pencarian serta warganet yang menyaksikannya melalui rakaman video yang tular di media sosial.

Penampakan wanita itu dikaitkan dengan keadaan di sekitar lokasi yang diketahui sebagai ‘keras’. Malah penduduk setempat ada menyatakan bahawa hampir setiap tahun ada sahaja orang yang mati di lokasi pencarian tersebut kerana kemalangan.

Dari hasil carian, kejadian itu berlaku pada hari Sabtu (20/3/2021). Wanita berambut hitam panjang itu muncul di tengah-tengah pasukan pencari dan menyelamat yang sedang mencari mangsa di sungai Tukad Petanu.

Dalam video tersebut, wanita itu hanya memakai baju berwarna hitam, tidak berpakaian seragam seperti petugas yang terlibat dalam proses pencarian tersebut. Dia dilihat berjalan di sepanjang tebing sungai sambil memegang batu.

Misteri penampakan wanita di sungai Tukad Petanu itu walau bagaimanapun terjawab selepas disahkan dari Ketua Basarnas Bali, Gede Darmada. “Dia adalah tetamu (warganegara asing) yang kebetulan tinggal berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Wanita itu dilaporkan berasal daripada Mexico. Oleh kerana dia tinggal berdekatan lokasi pencarian dan memahami seluk-beluk sungai Tukad Petanu, dia telah mengambil inisiatif untuk turut mencurahkan tenaga dalam operasi pencarian tersebut.

Menurut Darmada, operasi pencarian telah dibesarkan hingga ke tiga kecamatan yang melintasi sungai Tukad Petanu. Air sungai itu sangat deras dan dipenuhi dengan batu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seorang wanita yang berusia 37 tahun telah terjatuh ketika menunggang motosikal bersama dua orang ahli keluarganya. Seorang mangsa yang berusia 55 tahun, ibu kandungnya, telah ditemui meninggal dunia. Hanya anaknya yang berusia 9 tahun sahaja dilaporkan terselamat daripada kejadian itu.

Sumber: Oke News

Aqmal Ezany

I write what is right