Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Lelaki Ini Pesan Supaya Terima Perbezaan Pendapatan Masing-masing, Ubah Cara Berfikir

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap orang ditakdirkan dengan nikmat yang berbeza-beza, ada yang direzekikan dengan wang yang melimpah ruah dan ada juga yang direzekikan dengan keluarga yang bahagia dan harmoni.

Apa yang pasti, kita sentiasa perlu bersyukur di atas setiap nikmat yang dikecapi walaupun mungkin ia dilihat sangat kecil berbanding apa yang diperolehi oleh orang lain.

Bercakap soal rezeki, Khairul Hakimi Muhammad berkongsi mengenai pandangannya terhadap perkara tersebut yang mungkin boleh kita mengambil teladan darinya.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Orang yang tak pernah merasa RM1,000 akan rasa RM100 sangat banyak.

Orang yang tak pernah merasa RM10,000 akan rasa RM1,000 sangat besar.

Orang yang tak pernah merasa RM100,000 akan rasa RM10,000 terlalu kaya.

Orang yang tak pernah merasa RM1,000,000 akan rasa RM100,000 itu tersangat mewah.

Kawan-kawan, cara kita berfikir tak sama dengan semua orang berfikir. Ada orang, dia dah terbiasa belanja banyak. Bagi dia biasa untuk makan tengah hari sahaja pun cecah RM500 sekali makan berdua.

Ada orang, itu semua normal.

Yang belum rasa akan cakap membazir. Yang belum kecap akan cakap “ala boleh je makan di gerai, sama je, sedap je.”

Sama juga orang akan cakap, “ala bawa Myvi pun sampai balik kampung kenapa nak beriya beli Mustang? Poyo je lebih.”

Semua itu betul. Tak ada salah. Namun kita semua boleh berfikir begini.

– semua orang menjana ekonomi mengikut cara pendapatan mereka.

– yang bergaji kecil, menjana ekonomi mengikut berapa dia ada, berapa dia belanja.

– yang bergaji besar, menjana ekonomi mengikut apa dia ada, berapa dia belanja.

– jika sebuah majlis berharga RM1 juta dibandingkan dengan majlis berharga RM10,000. Ia bukan perbandingan oren dengan oren. Ia salah. Majlis RM1juta boleh jadi menggunakan khidmat chef terkemuka, dewan dan persediaan berbeza, kelengkapan, pakaian, jenis kain, jenis alat semuanya boleh jadi tinggi nilainya. Manakala majlis RM10,000 boleh jadi ia adalah rewang keluarga dan ada kebahagiaan yang berbeza di situ.

– membazir bermaksud kita membayar sesuatu perkara tanpa kita habiskan atau kita biarkan ia rosak begitu sahaja. Sebagai contoh, kita buat parti hari lahir anak kita, kita jemput 10 orang namun kita tempah kek 5 tingkat yang sepatutnya dimakan oleh 100 orang. Itu membazir.

– kalau majlis RM1juta, tiada sesen dibuang malah siap ada yang kutip ambil bawa balik, ia bukan membazir. Ia menaikkan ekonomi.

– kita tidak mengetahui nilai sesuatu perkara, maka kita terus bantai ia adalah membazir. Tidak kawan-kawan, ia taklah semudah itu. Semua benda ada harganya di dunia ini.

Kita adalah apa kita fikir. Saya pernah alami tak faham-faham maksud kenapa orang sanggup membayar lebih untuk makan di hotel. Sedangkan makan di mana-mana sama sahaja.

Apabila saya masuk ke level itu, baru saya sedar, view berbeza, cara bincang beza, cara memberi gambaran serta keseronokan untuk mendapat ROI juga berbeza-beza.

Sekiranya kita tak pernah capai tahap itu, berdoalah baik-baik supaya kita akan dapat kecap kemanisan memberi pulangan ekonomi secara skala besar. Ia bukan sahaja tentang duit, namun tentang memberi peluang orang masih bekerja, orang masih menjana kewangan di tempat kita mengambil perkhidmatan dan job mereka.

Begitulah kawan-kawan, tetapkan mindset untuk jadi orang berjaya. Yang berfikir bukan sekadar logik akal dan hati, ia mesti didahului dengan siasah ilmu dan kebahagiaan jiwa sendiri.

Ingat ini, orang bahagia ialah yang bahagia melihat orang lain bahagia.

Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad

Sumber: Khairul Hakimin Muhammad

Sofea

There's always another side to every story