Siakap Keli

(Video) Youtuber Buat Kerja Gila, Rela Duduk Dalam Keranda Dan Ditanam Hidup-Hidup Lebih 48 Jam

YouTuber popular, MrBeast, menghabiskan masa selama 50 jam berada di dalam keranda yang bertutup dan dikebumikan di bawah tanah dalam rakaman yang mendebarkan ramai.

Keputusan untuk dikuburkan secara hidup-hidup selama dua hari itu boleh dikatakan sebagai ‘kerja gila’, namun MrBeast atau nama sebenarnya Jimmy Donaldson sanggup mengambil risiko demi menghiburkan 58.1 juta pelanggan YouTubenya.

Video suntingan berdurasi 12 minit yang diambil dalam tempoh 50 jam MrBeast ditanam kini menjadi tular dan dikongsi secara meluas di media sosial.

Dalam klip yang dikongsi oleh MrBeast di saluran YouTubenya, dia dapat dilihat terbaring di dalam keranda dan menggunakan ‘walkie-talkie’ untuk berhubung dengan rakan-rakannya di luar.

“Saya ingin bergerak, tetapi saya tidak boleh melakukannya,” kata MrBeast yang turut menangis saat kamera yang dipasang di dalam keranda merakam pergerakannya yang terhad.

Dapat dilihat di dalam keranda tersebut, MrBeast turut membawa selimut, sedikit makanan dan air, bantal termasuk beberapa barang keperluan lain.

“Ini adalah perkara paling gila yang pernah saya lakukan,” tulisnya yang berkongsi video tersebut di YouTube pada Ahad lalu.

Setakat hari ini, video berkenaan telah meraih 58.7 juta tontonan dan ratusan ribu komen oleh warganet hanya dalam tempoh 7 hari.

“Sungguh gila dengan ‘content’ video seperti ini hanya untuk menghiburkan kami, lelaki ini memang luar biasa,” tulis seorang individu di ruangan komen.

”MrBeast telah memberikan sumbangan berjuta-juta dolar untuk kerja amal, mengelilingi dunia, makan 70 pizza bersaiz besar dan ini merupakan kerja gila paling ‘cool’ yang pernah dia lakukan, “ kata yang lain.

MrBeast merupakan individu yang sangat popular di Youtube kerana video luar biasa yang dihasilkan. Menurut laporan Bloomberg, pada tahun 2019, setiap video yang disiarkannya melepasi 20 juta tontonan.

Konsistensi seperti itu tiada tandingannya, malah MrBeast menjadi antara bintang terbesar YouTube. “Dia tinggal di planet yang berbeza dari dunia YouTube yang lain,” kata Casey Neistat, seorang pembuat filem.

Sumber: NDTV, Youtube MrBeast

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.