Siakap Keli

(Video) 7 Bulan Terlantar & Dirawat Di Hospital, Lelaki Ini ‘Nak Pitam’ Dikenakan Bil Cecah RM 7 Juta

Derita panjang seorang mangsa kebakaran yang hampir kehilangan nyawanya satu masa dahulu kini bagai tidak berpenghujung. Kisahnya ini sama dengan perumpamaan, ‘terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau’.

Lelaki tersebut, Alexis Hernandez sebelum ini berdepan ambang maut apabila hampir keseluruhan tubuhnya terbakar teruk dalam satu letupan besar yang berlaku kira-kira awal 2019 lalu.

Ketika itu, Alexis baru sahaja memulakan hidup baharu di sebuah institut di wilayah Guadalajara, Mexico sebagai pelajar jurusan perubatan pada usia kira-kira 23 tahun.

Sudah namanya pelajar baharu, maka perjalanannya dalam dunia perubatan di insitusi itu bermula dengan penuh harapan di dada. Katanya, itulah antara impian paling besar dalam hidup; iaitu mahu menjadi seorang doktor perubatan.

Pemanas meletup, impian musnah sekelip mata

Benarlah kata bidalan, sesungguhnya malang itu memang tida berbau. Baru dua hari sahaja Alexis mula berkelana di bumi Chilango itu, satu tragedi ngeri berlaku dan mengubah hidupnya sekelip mata.

Ketika itu, dia menghidupkan pemanas di rumahnya bagi mendapatkan air panas untuk mandi, namun tiba-tiba mesin tersebut dilapor meletup kuat hingga ‘memuntahkan’ api yang besar.

“Letupan besar di dapur itu mengakibatkan saya terperangkap sebelum kebakaran besar berlaku hingga merebak ke luar rumah . Seluruh bahagian rumah dan bangunan pangsapuri dijilat api yang marak.

“Saya terpaksa berlari merempuh ‘lautan api’ yang marak itu dan keluar dari situ demi mahu menyelamatkan diri. Walau bagaimanapun, saya telah kehilangan hidup saya,” katanya, memetik laporan CBS News.

Walaupun dia cuba melarikan diri, namun api yang besar itu terlebih dahulu ‘menyapanya’. Akhirnya hampir seluruh tubuh badan Alexis didakwa melecur dengan terlalu teruk.

Pihak penyelamat sempat memecut ke rumah yang terbakar itu bagi menyelamatkan bakal doktor muda tersebut dan menghantarnya ke hospital awam, bagaimanapun kadar kecederaan yang terlalu kritikal menyebabkan pihak perubatan terpaksa memindahkannya ke hospital pakar.

Alexis yang juga warganegara Amerika Syarikat (US) ketika itu ‘dibawa pulang’ ke tanah airnya bagi mendapatkan rawatan rapi di sebuah pusat rawatan pakar bagi kebakaran, iaitu Institut Kajian Pembedahan Angkatan Tentera US di San Antonio, Texas.

Menurut penjelasan penolong terapi fizikal institut tersebut, Kelly Brown, tubuh Alexis mengalami kecederaan yang mungkin tiada harapan lagi untuk sembuh kerana terlalu teruk. Antara bahagian tubuh yang masih terselamat adalah tapak kaki.

Ekoran keadaanya yang kritikal, bakal doktor muda itu terpaksa ditahan dan dirawat dengan penjagaan rapi kira-kira tujuh bulan lamanya, melibatkan 19 orang pakar bedah serta terapi fizikal selama beratus-ratus jam.

Sakit belum habis, bil rawatan cecah jutaan dolar

Kata Alexis, sebermula dia sembuh dan mampu bergerak semula sedikit demi sedikit, hidupnya bagaikan bermula semula dari bayi. Dia terpaksa ‘bertatih’ semula untuk belajar berjalan, makan, bercakap, bernafas, memakai baju dan sebagainya.

Namun di sebalik senyum melihat dirinya mulai pulih, ada sesuatu yang berlaku jauh di luar jangkaannya. Sesuatu yang perit, ‘sakit’, berat dan menambahkan lagi beban yang sedia ada.

Selama tujuh bulan dia dirawat di situ, selama itu jugalah bil rawatan dikira dengan tepat setiap saat. Apatah lagi tubuhnya yang hampir mati itu ‘dibaiki’ semula sehingga kembali kepada keadaan asal, boleh bayangkanlah macam mana sesi penjagaan yang dijalankan.

Telah tiba masanya, bil pun keluar. Sangat mengejutkan, apabila kos rawatan dan penjagaan yang diterimanya dengan rapi sepanjang ‘berkelana’ tujuh bulan di sana bernilai RM7 juta!

“Saya sangat-sangat tak sangka, tak pernah terjadi dalam hidup saya perkara seperti ini. Saya tak pernah terbayangkan pun yang saya perlu melalui ‘kesakitan’ seperti itu (bayar bil tinggi),” luahnya.

Bagaikan hilang arah, Alexis terduduk apabila menatap bil rawatan yang dihantar oleh kerajaan kepadanya melalui notifikasi di telefon. Apalah nasibnya, sudah hampir mati dibakar api, kini makin nazak pula menatap hutang.

Sebagai anak jati bumi Uncle Sam, ayah Alexis, Jamie Hernandez dikatakan cuba memohon tuntutan insurans dan ‘ihsan’ daripada kerajaan kerana mendakwa kejadian itu berlaku di luar US (Mexico), namun tiada maklum balas diterima.

Dalam masa sama, syarikat insurans perubatannya, First Medical juga didakwa ‘mengunci mulut’ dalam kes ini. Namun mahu tidak mahu, Alexis terpaksa pasrah bahawa hidup mesti diteruskan.

Walaupun ‘terduduk’ terkenangkan bil yang terlalu tinggi, namun dia bersyukur kerana mampu ‘hidup’ semula dan diberi peluang kedua. Dengan sedikit semangat berbaki, Alexis bercadang mahu menyambung semula pengajian perubatan yang tertangguh sekian lamanya.

Sumber: CBS News / Twitter

@thesiakapkeli

Orang selangor mana? Mana yg betul2 sedap ni🤔 #GreatestMakanHits #foodreview #selangor @tourismselangor

♬ original sound - Siakap Keli
" "