Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

“Elakkan Minuman Berkafein,” KKM Kongsi 6 Tips Ambil Sahur Secara Sihat

Hari ini merupakan hari pertama umat Islam di Malaysia menyambut bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan sangat sinonim dengan dua waktu ini iaitu berbuka dan sahur.

Sahur merupakan ibadah yang disunatkan dan digalakkan. Walaupun bukan perkara wajib, namun zahirnya terdapat keberkatan ketika bersahur. Hal ini kerana, ia dapat menguatkan dan memberi galakan untuk berpuasa.

Pemilihan makanan ketika bersahur perlu dititikberatkan supaya kita cergas walaupun seharian berpuasa.

Melalui laman Twitter, KKM berkongsi enam tips sahur sihat yang boleh kita amalkan sepanjang menjalani ibadah puasa.

Makanan kaya serat, vitamin dan mineral

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat serta tinggi vitamin dan mineral adalah sangat penting ketika bersahur.

Sebut sahaja tentang serat, pasti anda terbayang sayuran hijau yang mungkin kurang digemari. Selain sayuran, buah-buahan seperti epal,pisang dan anggur juga tinggi kandungan serat.

Kredit Diabetes.co.uk

Vitamin dan mineral merupakan merupakan nutrisi organik yang penting untuk fungsi metabolisme badan.

Lebih-lebih lagi ketika berpuasa, badan yang tidak makan dan minum akan perlahan-lahan kehilangan nutrisi penting yang boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, vitamin dan mineral sangat penting untuk diambil ketika sahur.

Karbohidrat kompleks

Karbohidrat kompleks terdiri daripada dua iaitu serat dan kanji.

Kanji terkandung dalam roti, kentang dan jagung. Antara contoh diet seimbang yang kaya dengan serat pula adalah bijirin, bijian dan oat.

Karbohidrat ini perlu diuraikan terlebih dahulu oleh tubh sebelum digunakan sebagai sumber glukosa. Karbohidrat kompleks mengambil masa 8 jam untuk dicernakan sepenuhnya.

Protein

Salah satu cara untuk kenyang lebih lama adalah dengan mengambil protein. Struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan pencernaan.

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sumber protein secara kerap boleh mengurangkan rasa mengidam sehingga 60%. Protein juga boleh menyekat separuh daripada keinginan untuk makan.

Anda boleh mengambil sama ada ayam, ikan atau daging sebagai menu sahur anda.

Ambil hidangan lengkap

KKM menasihatkan agar mengambil hidangan lengkap mengikut pinggan sihat Malaysia ketika bersahur.

Pinggan sihat Malaysia atau PSM mengesyorkan untuk meningkatkan pengambilan buah dan sayur; mengawal sukatan nasi, mi, roti dan bijirin lain; menggalakkan pengambilan bijirin penuh; memastikan pengambilan ikan, ayam, daging dan kekacang yang mencukupi; serta menggalakkan pengambilan air kosong.

Elakkan kafein

Minuman berkafein seperti kopi,teh, kola dan koko sebaiknya dielakkan ketika bersahur.

Minuman berkafein dikatakan bersifat diuretik dan akan dicerna dengan lebih cepat. Keadaan ini menyebabkan anda cepat kehilangan cecair dalam badan kerana kerap membuang air kecil.

Kekurangan air dalam badan mengakibatkan dehidrasi dan cepat keletihan ketika berpuasa.

Utamakan air kosong

Pengambilan air kosong perlu diutamakan ketika bersahur. Namun, jus buah atau susu rendah lemak juga boleh diambil semasa sahur.

Walaupun dengan masa terhad, anda masih perlu mencukupkan keperluan lapan gelas air sehari. Anda boleh menggunakan jadual 2-4-2  di bulan puasa. Minum dua gelas air semasa berbuka, empat gelas sebelum dan selepas solat terawih, dan dua gelas sewaktu sahur.

SUMBER: Twitter KKM, Hello Doktor

Eyla Azri