Siakap Keli
Kredit: Google

Kalau Suami Isteri Bersetubuh Ketika Berpuasa Tapi Tak Tahu Ianya Dilarang, Macam Mana Kaffarahnya? Ini Penjelasan Mufti

Hari ini sudah masuk hari ketiga kita berpuasa dalam bulan Ramadan bagi tahun ini. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, solat tarawih pun dibenarkan biarpun masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP).

Namun bagi pasangan suami isteri, lebih-lebih yang baru berkahwin, tidak mustahil mungkin ada yang kurang menyedari bahawa aktiviti persetubuhan yang sepatutnya halal kini ditegah sama sekali sepanjang waktu berpuasa.

Jika anda ‘terlepas’ juga, apakah hukumannya di sisi syarak? Bukankah perlu membayar fidyah? Tapi kalau pasangan yang memang betul-betul tidak tahu bahawa persetubuhan amat dilarang sepanjang berpuasa, bagaimana pula?

Mari ikuti persoalan dan penjelasan berkenaan topik ini oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini. Semoga ada pencerahannya.

Gambar hiasan | Kredit: Google

Soalan

Assalamualaikum Dato, Saya pernah melakukan hubungan seks bersama suami ketika belajar bersama sama di luar negara dan ianya dalam bulan Ramadan. Kami berdua pada ketika itu sememangnya jahil tentang kaffarah tertib ini sehingga rakan sekelas yang memberitahu. Saya dan suami melakukan persetubuhan pada bulan Ramadan 2017 selama sehari. Saya faham ada 3 cara untuk membayar kaffarah:

Membebaskan hamba, berpuasa 2 bulan berturut-turut dan memberi makan kepada fakir miskin.

Cumanya saya ada beberapa kemusykilan:

1) Bagaimana seorang perempuan itu ingin mengira tempoh 2 bulan puasanya itu sekiranya mereka didatangi haid?

2) Saya melakukan persetubuhan itu pada 2017 dan sekarang sudah 2019. Adakah saya perlu menggandakan kaffarah yang perlu diganti? Dan adakah saya masih perlu mengganti puasa qada’?

3) Saya rasa saya tidak mampu untuk berpuasa selama 2 bulan tetapi bukan atas dasar tua atau sakit. Dan adakah bolehkah memberi makan 60 orang fakir miskin dan adakah harga dikira mengikut negara yang kita lakukan persetubuhan itu?

4) Kami sememangnya tidak mengetahui langsung tentang kaffarah ini. Jadi apakah hukumnya buat kami?

Jawapan

Waalaikumusssalam. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Puasa Ramadan merupakan satu kewajipan yang dikenakan bagi setiap umat Islam. Dan ia merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam. Allah SWT telah memerintahkan umat Islam serta umat terdahulu untuk melakukan ibadah puasa sepertimana Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Kaffarah puasa Ramadan

Kaffarah puasa hanya dikenakan kepada sesiapa yang melakukan jimak pada siang hari di bulan Ramadan.

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak dikenakan kaffarah kepada seseorang itu dalam beberapa keadaan seperti berikut:

“Sekiranya membatalkan puasa, tidak dikenakan kaffarah seperti membatalkan puasa dalam keadaan uzur, terlupa ianya berpuasa kemudian melakukan jimak, jahil tentang pengharamannya (jimak di siang Ramadhan), membatalkan dengan makan dan minum kemudian melakukan jimak, musafir atau membatalkan puasa bukan di bulan Ramadan maka dalam kesemua keadaan ini diwajibkan qada’ puasa sahaja.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 2/203).

Di antara syarat yang diwajibkan membayar kaffarah ialah sedar ia sedang berpuasa, mengetahui hukum membatalkan puasa adalah haram dan bukan dalam keadaan rukhsah (keringanan) ketika musafir atau sakit.

Selain itu, sesiapa yang melakukan persetubuhan semasa berpuasa pada bulan Ramadan kerana terlupa atau tidak mengetahui hukumnya haram, atau membatalkan puasa yang bukan puasa bulan Ramadhan, atau sengaja membatalkan puasa. Tetapi tidak dengan bersetubuh atau bersetubuh semasa bermusafir yang diharuskan berbuka puasa, maka semua yang tersebut tidak wajib kaffarah dan hanya wajib menggantikan puasanya sahaja.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 3/116)

Orang Yang Diwajibkan Kaffarah

Kaffarah hanya dikenakan ke atas suami sahaja dan tidak dikenakan terhadap isteri. Ini seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya:

Wajib seseorang suami membayar kaffarah. Dan tidak dikenakan ke atas perempuan walaupun ia berpuasa. Ini kerana hak yang membayar kaffarah jimak dikhususkan ke atas lelaki bukan perempuan seperti mahar. Kerana perbuatan menyetubuhi disandarkan kepada lelaki, maka wajib ke atasnya kaffarah. Oleh itu, perempuan hanya wajib mengqada puasanya sahaja.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/204)

Begitu juga yang dinyatakan dalam al-fiqh al-Manhaji:

Kaffarah kerana membatalkan puasa bulan Ramadan wajib ke atas suami sahaja dan tidak wajib ke atas isteri walaupun dia sedang berpuasa. Ini kerana kesalahan suami lebih berat dan lebih buruk.” (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 3/116)

Qada’ Puasa dan Fidyah

Dan di antara perkara yang membatalkan puasa adalah melakukan persetubuhan di siang hari. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.

(Surah al-Baqarah, 187)

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan,

“Selain itu, berkenaan dengan hal menggantikan puasa maka diwajib untuk menunaikannya sehingga sebelum masuk pada bulan Ramadan yang akan datang. Dan dikenakan fidyah sekiranya tidak sempat menunaikannya sehingga masuk pada Ramadan yang akan datang. Ini seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: bersetubuh adalah perkara yang membatalkan puasa, ini seperti makan, sama ada keluar mani atau tidak.” (Lihat: al-mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/184)

“Dan sekiranya diwajibkan atasnya untuk qada’ puasa Ramadan, akan tetapi sekiranya tidak sempat menunaikannya sehingga masuk pada bulan Ramadan pada tahun hadapan maka diwajibkan ke atasnya qada’ dan fidyah mengikut bilangan hari yang di tinggalkan.” (Lihat: al-mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/203)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas dan berdasarkan pandangan ulama’ yang diberikan dapat disimpulkan bahawa:

  • Seorang isteri tidak dikenakan kaffarah dan kaffarah hanya dikenakan ke atas suami. Isteri hanya diwajibkan menggantikan puasanya sahaja mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
  • Tidak dikenakan kaffarah kepada sesiapa yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan disebabkan oleh kejahilannya atau tidak mengetahui hukum haramnya
  • Berkenaan dengan puasa yang ditinggalkan, maka diwajibkan ke atas keduanya untuk menggantikannya mengikut bilangan hari dan dikenakan fidyah sekiranya melebihi tahun yang mendatang serta fidyahnya bertambah mengikut bilangan tahun yang ditinggalkan.

Oleh itu, perbuatan bersetubuh ketika berpuasa di bulan Ramadan merupakan kesalahan yang besar dan diharamkan syara’ serta wajib bertaubat untuk tidak mengulanginya kembali. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'