Siakap Keli

Pengguna Terus Bertambah Jadikan Pengasas TikTok Makin Kaya, Kini Miliki Harta Lebih RM247 Bilion

Walaupun menghadapi beberapa rintangan pada tahun lalu, syarikat ByteDance yang mencipta aplikasi TikTok terus berkembang dengan pengasasnya, Zhang Yiming yang dilaporkan telah menjadi antara orang yang terkaya di dunia.

Saham syarikat itu didagangkan di pasaran swasta dengan nilai lebih daripada $ 250 bilion, lapor The Times of India.

Zhang yang memiliki sekitar satu per empat ByteDance itu dilaporkan mempunyai kekayaan sebanyak $60 bilion (lebih RM247 bilion).

“Zhang adalah seseorang yang terkenal dengan pemikiran jangka panjang dan tidak mudah dihalang oleh kemunduran jangka pendek. Dia sentiasa bersedia untuk membangunkan bisnes global yang bertahan lama,” kata rakan kongsi syarikat Synaptic Ventures, Ma Rui.

Nilai syarikat ByteDance untuk pelabur ekuiti swasta dilaporkan hampir $ 400 bilion, ia akan membawa kekayaan yang lebih besar untuk Zhang.

Pun begitu, ini juga sebenarnya waktu-waktu yang sukar untuk syarikat-syarikat besar kerana pihak berkuasa China menjalankan ‘siasatan’ mengenai antimonopoli yang berlaku di pasaran negara itu. Syarikat Alibaba yang dimiliki Jack Ma juga telah didenda.

Pada Selasa lalu, China memerintahkan 34 syarikat internet untuk memperbaiki amalan anti persaingan mereka pada masa akan datang.

Walaupun ByteDance belum dipilih sebagai ‘sasaran’, penguasaannya di media sosial dan ‘perang’ dalam membuat jalina kesepakatan adalah bidang sensitif yang sedang diperhatikan kerajaan.

Sumber: Times Of India