Siakap Keli

Sudah Tamat Penggambaran, Netizen Teruja Nantikan Filem Biopik Buya Hamka

Bukan sahaja dikenali sebagai lagenda sasterawan, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka merupakan tokoh agama, sejarawan dan ahli politik yang terkenal di Indonesia.

Kisah hidupnya sentiasa menjadi perhatian dan rujukan bagi pencinta karya-karya sasteranya. Banyak juga buku mengenai Allahyarham telah diterbitkan.

Terbaru, filem biopik mengenainya dilaporkan telah disiapkan.Menurut Kompas.com, filem yang bertajuk Buya Hamka itu diterbitkan oleh Falcon Pictures dan Starvision, produksi itu telah selesai menjalani proses penggambaran.

Beberapa gambar first look dari filem itu telah didedahkan menerusi Instagram Falcon Pictures.

Vino G Bastian yang berperanan sebagai Buya Hamka dilihat sangat berbeza kerana mendapat sentuhan makeup.

Demi mendapatkan penampilan tua seperti Buya Hamka, Vino terpaksa mengenakan prostetik khas yang disediakan oleh pasukan produksi.

Pengarah filem itu, Fajar Bustomi mengatakan bahawa dia lega setelah berjaya menyiapkan filem tersebut yang menjalani penggambaran di Mesir dan Indonesia.

“Proses penggambaran filem ini adalah sekitar 65 hari, ia filem paling lama yang pernah saya buat sepanjang karier saya sebagai pengarah mulai tahun 2015 bersama Starvision dan ketika bergabung dengan Falcon pada tahun 2018,” katanya.

Selain Vino G Bastian, filem ini juga turut dibarisi oleh Mawar De Jongh, Dessy Ratnasari, Laudya Chintya Bella, Dony Damara, Reza Rahadian, Ayu Laksmi dan ramai lagi.

Pun begitu, tarikh tayangan bagi filem itu tidak didedahkan. Rata netizen, khususnya dari Indonesia sudahpun menyatakan rasa teruja dan tidak sabar menanti kemunculan filem ini.

Sumber: Kompas.com

Sofea

There's always another side to every story