Siakap Keli
Gambar: ATM

“Kita Kekurangan Doktor”, Kes Semakin Kritikal, Hospital Medan Perlu 30 Doktor & 100 Paramedik Segera

“Kita kekurangan doktor,” Itulah kebimbangan yang terzahir dari bibir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ekoran usaha penambahan operasi hospital medan bagi rawatan COVID-19 di negara ini.

Pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk berakhir, malah kenaikan kes harian, kemunculan kluster-kluster dan varian baharu menambahkan lagi cuaca suram tahap kesihatan negara.

Hakikatnya, beberapa hospital awam yang menempatkan pesakit COVID-19 sudah mulai penuh. Jangankan tidak cukup katil, bahkan hingga terpaksa menyimpan mayat-mayat di dalam kontena khas gara-gara kapasiti bilik mayat yang sudah ‘sesak’.

Gambar: MINDEF

Justeru, sebagai langkah bersiap-siaga akan sebarang kemungkinan, pilihan kedua yang ada dalam menjaga kesihatan dan keselamatan awam adalah penambahan hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tidak dinafikan, hospital medan untuk rawatan wabak COVID-19 yang dibuka di beberapa negeri sebelum ini telah banyak membantu fasiliti kesihatan sedia ada, bagaimanapun telah timbul isu lain yang mungkin berisiko membantutkan operasinya.

“Kita kekurangan doktor, paramedik dan peralatan. Jika kita dapat tambahan tiga elemen ini, kita boleh bina lebih banyak lagi hospital medan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Gambar: MINDEF

30 doktor, 100 paramedik & peralatan diperlukan segera

Difahamkan, ATM memerlukan sekurang-kurangnya 30 orang doktor dan 100 orang paramedik bagi menambah pembukaan hospital medan negara. Malah jelasnya, sebanyak dua buah hospital medan lagi turut mampu diwujudkan sekiranya kekurangan tersebut dapat dipenuhi.

Pihak ATM bukanlah tidak mahu menggunakan khidmat kakitangan kesihatan yang sedia ada di hospital tentera, namun sekiranya dibuat begitu, berkemungkinan operasi kesihatan di sana pula dibimbangi terjejas.

Kita akan minta kerajaan untuk memenuhi keperluan itu. Pihak kami juga bersedia untuk mengambil kakitangan secara kontrak tetapi dalam kadar segera,” tambahnya.

Gambar: MINDEF

Untuk rekod, sebanyak empat buah hospital medan telah dibuka sebelum ini iaitu di Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS), Selangor; di Kapit, Sarawak; di Tawau, Sabah; di Pokok Sena, Kedah dan terbaharu di Pulau Pinang untuk rawatan unit rawatan rapi (ICU) yang mampu menempatkan 24 katil pesakit ICU.

Pembukaan hospital medan baharu ini adalah mengikut keperluan semasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan bagi mencapai objektif tersebut.

Gambar: MINDEF

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'