Siakap Keli
penyanyi

Kanak-Kanak Perempuan Cedera Dipercayai Ditikam Bapa Tiri Sakit Mental

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera di bahagian perut, dipercayai akibat ditikam bapa tiri yang mempunyai sakit mental di rumahnya di Kangkar Pulai di Iskandar Puteri, pada 15 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi itu dikesan pihak polis, hasil aduan seorang doktor yang merawat kanak-kanak tersebut selepas ibunya berumur 37 tahun, menghantarnya ke sebuah hospital di Iskandar Puteri untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor berkenaan memaklumkan bahawa, kanak-kanak itu mengalami kecederaan seperti tusukan benda tajam di bahagian perut sebelah kiri.

“Hasil temu bual dengan kanak-kanak itu sebelum pembedahan dijalankan, mangsa memaklumkan bahawa telah dicederakan oleh pakciknya sendiri. Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil dan masih berada di wad hospital untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata hasil siasatan awal mendapati, lelaki terbabit merupakan ayah tirinya berusia 38 tahun yang tidak bekerja dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Dzulkhairi berkata, motif kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan masalah mental yang dialami lelaki terbabit.

“Lelaki berkenaan mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital. Individu itu kemudiannya telah dibawa ke HSA bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah merampas sebilah pisau panjang berukuran lebih kurang 29.5 sentimeter beserta hulu pisau yang ditemui di rumah tersebut.

Katanya, individu terbabit telah dibebaskan selepas ditahan reman selama tiga hari bermula 15 Mei lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang