Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

“SOP Semua Kelaut,” Dua Hari Kes Capai Tiga Digit, Pengarah Kesihatan Terengganu Tegur Orang ‘Ganu’

Peningkatan kes harian Covid-19 di Terengganu sebanyak tiga digit tidak mengejutkan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi binti Yunus berikutan kelakuan sebilangan rakyat di negeri tersebut yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekaligus membuka ruang kepada penularan jangkitan wabak dengan pantas.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi, Dr Nor Azimi berkata, beberapa kisah kluster yang berlaku di negeri itu membuktikan bahawa terdapat sebilangan rakyat yang sememangnya mengambil lewa dan memperlekehkan pematuhan SOP sehingga mencetuskan banyak kluster baharu.

Oleh itu, beliau menasihatkan supaya orang ramai dapat menangguhkan semua majlis berkumpulan, duduk di rumah jika tidak mempunyai urusan dan bukannya meneruskan aktiviti ‘bersukaria’ tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

KHAS UNTUK WARGA TERENGGANU

DUA HARI berturu-turut Terengganu melaporkan TIGA DIGIT kes harian Covid-19. Esok mungkin tiga digit lagi. Seramai 14 orang sedang dirawat di ICU HSNZ buat masa ini.

Apapun kami tidak terkejut langsung. Ini kerana tatakelakuan rakyat Terengganu sendiri yang memberi ruang dan peluang Covid 19 bersuka ria di Terengganu.

Saya kongsi kisah-kisah kluster yang mengesahkan TIADA PEMATUHAN SOP yang menyebabkan penularan jangkitan Covid 19 di Terengganu berlaku dengan pantas.

Kisah 1

Lepak lepak bersama 18 orang kawan di sebuah rumah kosong di Setiu. Akhirnya 17 disahkan positif melibatkan kawan lepak dan ahli keluarga. Seramai 162 kontak rapat dikesan.

Kisah 2

Seorang dikesan positif untuk saringan masuk kerja di Johor. Semua kontak rapat famili di Dungun disaring. Akhirnya 41 ahli keluarga dan kawan disahkan positif serentak. Seramai 245 kontak rapat dikesan. Rupanya ada beberapa buah rumah dalam pagar yang sama. Turun naik rumah itu biasa. PPALUT MOLEK.

Kisah 3

Menganjurkan majlis berbuka puasa melibatkan 20 orang. Akhirnya tercetus Kluster Bukit Pauh di Dungun dengan jumlah kes positif 78 orang dan 496 orang kontak rapat. Merebak pula ke KT bila kes tadi ada diskusi dan moreh di kedai makan. Akhirnya 2 kawan dikesan positif.

Kisah 4

Masak ramai-ramai buat majlis berbuka puasa di sebuah surau di Marang. Macam-macam aktiviti dibuat sebelum raya. Suka sungguh semua orang. Akhirnya 26 disahkan positif. Seramai 283 orang kontak rapat dikesan.

Kisah 5

Pergi mesyuarat di KL. Tidak buat penilaian risiko. Masuk kerja macam biasa. Akhirnya 36 disahkan positif. Akhirnya ribuan kontak terpaksa disaring.

Berpuluh-puluh kisah boleh dishare untuk diambil iktibar untuk mengesahkan TIADA PEMATUHAN SOP. SOP semua KELAUT. Sebab apa kelaut. Sebab mereka tak cakna, sambil lewa dan perlekehkan PEMATUHAN SOP. Semuanya dianggap rekaan dan menyusahkan.

Kita tak tahu status kawan kita masa majlis sosial di atas. Kita hanya tahu bila mereka disahkan positif. Akhirnya kita menjadi kontak rapat. Nasib tak baik kita pula disahkan positif.

IKTIBARNYA. Jangan ambik mudah kebolehjangkitan Virus Covid-19 ni seperti berdiskusi untuk marking paper exam, akhirnya tiga guru disahkan positif.

Semua pemimpin masyarakat dari semua peringkat termasuk semua Ketua Jabatan sila pastikan PEMATUHAN SOP dikalangan semua rakyat dan anggota di kawasan/Jabatan masing2.

TANGGUHKAN semua majlis perkumpulan. Semua kena DUDUK RUMAH. Tidak ada guna peraturan PKP kalau masih ada yang bersukaria.

Kalau rakyat Terengganu rasa mereka kebal kepada Covid 19 teruskan aktiviti suka ria kalian. Tiada paksaan untuk anda membaca tulisan ini. Boleh abaikan. Kalau ada manafaat sebarkan nasihat ini kepada semua orang.

Pesanan #PKNTrg

Dr Nor Azimi binti Yunus

Pengarah Kesihatan Terengganu

Sumber: FB Dr Nor Azimi binti Yunus

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.