Siakap Keli
Gambar Via Plain Didek

Hidap Kecing Manis Hingga Dua Jari Kaki Dipotong, Wanita Nekad Amal Gaya Hidup Sihat, Dari 124kg Turun Ke 68kg

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tubuh badan yang sihat merupakan salah satu nikmat yang sememangnya perlu dihargai dan disyukuri oleh setiap orang. Ada yang tidak bernasib baik, diuji dengan pelbagai penyakit yang terkadang boleh melunturkan semangat.

Sama seperti yang dialami oleh seorang wanita dari Sarawak ini yang diuji dengan penyakit diabetes. Tetapi, dia tetap berjuang sedaya upaya untuk melawan penyakitnya itu. Menerusi perkongsiannya di Group Facebook Malaysia Runners, Chin mengatakan bahawa dia kini mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berlari dan menjaga pemakanan.

Menurutnya, dia kehilangan dua jari kaki akibat daripada komplikasi penyakit itu. Pun begitu, dia tidak mudah patah semangat dan terus menyusun strategi melawan penyakit diabetes itu.

Dihubungi SK, Chin mengatakan bahawa dia juga ingin menukar persepsi orang ramai yang merasakan pesakit diabetes biasanya berkeadaan lemah, selalu sakit dan perlu memakan ubat seumur hidup. Ikuti perkongsian kisahnya di bawah ini.

#ChinVsDiabetes

Hi semua. Saya Plain Didek atau Chin. Asal dari Sarawak, sekarang berkerja di Johor.

Saya bukan pelari yang hebat. Saya cuma mampu berlari, berjalan atau hiking sejauh 8-9km dalam masa 1 jam 30 minit. Atau jika kudrat dan tenaga masih ada, saya akan completekan sehingga 10km.

Dan saya berlari bukan untuk menjadi kurus. Tetapi saya berlari untuk melawan diabetes saya. Saya pesakit diabetes yang teruk dulu, 8-9 tahun tak terjaga. Makan minum sesuka hati tak terkawal walaupun hakikatnya saya merupakan pesakit kencing manis.

Sehingga akhirnya pada Februari 2019 saya diduga hebat. Jari kedua kaki retak akibat terlanggar sesuatu, dan ada melecet di bawah tapak kaki. Disebabkan diabetes tak terkawal, akhirnya kaki saya mengalami ray amputation pada jari kedua dan ke tiga. Sedih? Saya menangis dalam hati..

Saya mengubah gaya hidup selepas itu. Mula menjaga makan, Low Carb No Sugar. Dalam dua tahun saya mengalami perubahan berat badan yang ketara dari 124kg dan sekarang fluctuated di antara 68-70kg. Dan setelah genap dua tahun berjuang, akhirnya ubat diabetes (Metformin) dihentikan oleh doktor. Saya kini hanya menjaga diabetes dengan penjagaan pemakanan yang berkesan dan jua senaman yang konsisten.

Walaupun ubat saya diberhentikan oleh doktor, tetapi saya tetap seorang pesakit diabetes. Makanya, untuk berlari, saya memerlukan tapak kasut atau insole kasut yang sesuai, yang dibuat khas oleh syarikat yang menguruskan kasut khas untuk orang seperti saya dengan pantauan ketat dari Jabatan Rehabilitasi Hospital Sultan Ismail. Kesesuaian tapak kasut ini sangat penting bagi pesakit diabetes seperti saya untuk mengelakkan kaki melecet. Tambahan pula, kaki saya dah tak sempurna macam dulu. Saya tak mampu beli kasut mahal, sebab sepasang insole atau tapak kasut ini sahaja sudah berharga Rm650.. Jadinya sekarang saya hanya menggunakan Kasut Kronos dengan insole yang ditempah khas ini.

Saya bukan berlari untuk kurus. Saya bukan berlari untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik. Tetapi saya berlari untuk melawan diabetes saya. Senaman dan penjagaan pemakanan yang berdisiplin sangat membantu dalam mengawal diabetes. Dan dalam proses menjaga makan dan juga bersenam, saya kehilangan banyak berat badan.

Saya takda ilmu pasal larian.. Pasal pecut². Pasal teknik bernafas. Langsung takda. Tapi jika korang nak tanya pasal diabetes, saya sedia membantu. Jangan tanya pasal SUPPLEMENT DIABETES, sebab saya tak percaya akan semua benda² supplement ni.

Terima kasih kerana membaca. Semoga semua kita sihat sentiasa.

Plain Didek @ Chin.

-I run to fight my diabetes-

Sumber: Plain Didek

Sofea

There's always another side to every story