Siakap Keli
Kredit: Google

KKM Sahkan Audio Tular Di WhatsApp Dakwa 40 Jururawat Meninggal Dunia & Vaksin Itu Racun Adalah Palsu

Baru-baru ini tular di aplikasi WhatsApp satu audio daripada seseorang yang mendakwa 40 orang jururawat telah meninggal dunia (dipercayai akibat vaksin), selain mendakwa vaksin COVID-19 adalah racun yang berbahaya.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa ianya adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

“Satu audio berdurasi dua minit 48 saat yang menyatakan bahawa ada seramai 40 orang jururawat yang meninggal dunia dan mendakwa vaksin COVID-19 adalah racun adalah satu dakwaan yang tidak benar sama sekali.

“KKM menasihatkan agar semua masyarakat membimbing mereka yang berada di bawah jagaan keluarga mereka agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar sebegini,” tegas KKM dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar: KKM

Dalam pada itu, KKM turut menyatakan bahawa tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencipta atau menyebar info palsu ini dibimbangi mencetuskan panik dalam kalangan orang awam.

“Adalah menjadi satu kesalahan daripada segi undang-undang membuat kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam.

“Oleh itu, sebelum ianya berlaku adalah lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat-menasihati antara satu sama lain,” tambah kenyataan tersebut.

Orang awam diminta untuk berhati-hati dalam menerima sesuatu info yang tidak tepat serta meragukan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan yang lebih parah pada masa akan datang.

Sumber: KKM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'