Siakap Keli
Kredit gambar: Faiz Abdul Manan (Google)/BERNAMA

Nilai 3 Terletak Di Selangor? Ini 5 Fakta Menarik Tentang Nilai Yang Ramai Tak Tahu

Baru-baru ini kecoh didebatkan oleh netizen tentang di manakah lokasi sebenarnya Bandar Nilai 3. Ada yang mendakwa Nilai 3 terletak di Selangor, ada pula yang masih optimis Nilai 3 terletak di Negeri Sembilan. Mana satukah yang betul?

Daripada kita terus berbalah, apa kata kita baca lima fakta menarik tentang Bandar Nilai dulu, lagi ok kan?

5 fakta tentang Nilai yang korang kena tahu:-

1) Sejarah Nilai

Memetik petikan daripada portal Majlis Bandaraya Seremban, berikut di bawah adalah catatan sejarah ringkas bagaimana Nilai ‘bermula’.

Serba Ringkas Asal Usul Pembukaan

Nilai mempunyai asal-usul dan sejarahnya yang tersendiri. Mengikut sejarahnya, Nilai dahulunya diletakkan di bawah luak Sungai Ujong yang ditadbir oleh waris di Darat yang ditadbir atau waris di Air. Di bawah Dato’ Johan daripada waris di Darat terdapat tiga Dato’ Lingkungan yang mengetuai tiga corak suku Batu hampar yang tertumpu di beberapa buah kampung.

Keturunan lain termasuk dari Bentan yang tidak berdasarkan suku, tetapi mengikut kampung tempat tinggal masing-masing. Sebagai Dato’ Lembaga waris Perut Hulu, Waris Telaga Undang Dato’ Johan bukanlah titian balai kerana Dato’ Andika adalah lebih kanan. Bagaimanapun kuasa yang diberikan oleh Dato’ Kelana Putera bagi mengutip cukai sehingga tahun 1894 menunjukkan kedudukan Dato’ Johan di sisi balai Undang adalah penting.

Dato’ Johan yang ke-3 iaitu Dato’ Maamor adalah Dato’ Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujong ke-8. Sewaktu dilantik menyandang Pesaka Dato’ Kelana Putera pun, Dato’ Maamor masih belum dewasa. Ketika itu Pesaka Dato’ Kelana Putera kosong sejak tahun 1887 apabila Dato’ Mohd Yufof, Undang Luak Sungai Ujong dipecat. Disebabkan waris Perut Hulu tidak mempunyai anak lelaki yang yang boleh menyandang pesaka, maka anak-anak buah bersepakat melantik Dato’ Maamor yang masih kanak-kanak itu menyandang pesaka Dato’ Johan dan kemudiannya bergelar Dato’ Kelana.

Wilayah kekuasaan Dato’ Johan meliputi juga mukim Lenggeng yang termasuk didalamnya Kampung Mendum, Kampung Lenggeng, Kampung Sungai Jai, Kampung Hulu Beranang dan Kampung Dacing. Tiap-tiap kampung itu mempunyai ketua adat masing-masing yang dipanggil ‘Tua Waris’. Terdapat juga suku orang Minangkabau yang bertumpu ke luak-luak lain di Negeri Sembilan sebelum mereka menetap di Kampung Lenggeng. Bagi menjamin kebajikan mereka di luak Sungai Ujong maka tiap-tiap suku itu diberi ‘Tua Waris’ bagi menjadi wakil mereka dalam urusan adat dan pentadbiran di Balai Undang Luak.

Berikut di bawah adalah peta asal sembilan luak (daerah) di Negeri Sembilan. Kita boleh nampak beberapa kawasan yang kini sudah ‘dilepaskan’ ke bawah pentadbiran Selangor iaitu luak Klang & sebahagian luak Sungai Ujong; sebahagian Jelebu & Ulu Pahang di bawah Pahang; sebahagian Segamat di bawah Johor dan sebahagian Naning di bawah Melaka.

Kredit: Google

2) Tertubuh majlis perbandaran sendiri

Untuk pengetahuan korang, Nilai asalnya berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Seremban yang ditubuhkan pada 1 Janurari 1979. Penubuhan Majlis Daerah Seremban itu adalah daripada fasa penyusunan semula enam penguasa tempatan di Negeri Sembilan seperti yang termaktub di bawa Seksyen 3 (A) dan 3 (B), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Enam penguasa tempatan itu merangkumi Majlis Tempatan Pajam (1957), Majlis Tempatan Mantin (1958), Majlis Tempatan Lembaha Bandaran Rantau (1959), Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Nilai (1959), Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Broga (1959) dan Majlis Tempatan Lembaga Bandaran Labu (1959).

Kredit: MPN

Bagaimanapun pada 2 Februari 2002, bandar Nilai (yang asalnya di bawah Majlis Daerah Seremban) secara rasminya telah dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Nilai (MPN). Maka dengan tertubuhnya MPN ini, sebanyak lapan buah mukim di sekitar perbandaran ini ditadbir di bawah pentabiran MPN iaitu Setul, Labu, Rantau, Lenggeng, Pantai, sebahagian Rasah, sebahagian Ampangan dan sebahagian Seremban.

Kawasan Setul, Labu, Rantau, Lenggeng dan Pantai ditadbir penuh di bawah MPN manakala sebahagian Ampangan, Rasah dan Seremban pula dibahagikan bersama Majlis Bandaraya Seremban.

3) Lokasi paling strategik di Negeri Sembilan

Sesiapa yang menetap di Nilai adalah sangat beruntung kerana lokasinya dikatakan begitu strategik berbanding mana-mana daerah atau perbandaran di Negeri Sembilan. Jika lihat lokasinya dalam Google Maps di bawah ini, kedudukan geografi Nilai sangat ‘beruntung’ kerana dikelilingi oleh pelbagai mercu tanda utama seperti ibu kota, pantai, pusat pentadbiran negara, ibu negeri dan kawasan alam semulajadi.

Sumber: Google Maps

Jarak Nilai ke lokasi-lokasi penting di sekitarnya mengikut kiraan kilometer Google Maps:-

  • Nilai ke ibu negara, Kuala Lumpur: jaraknya sekitar 49 kilometer & mengambil masa kira-kira 48 minit jika melalui Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban.
  • Nilai ke pusat pentadbiran negara, Wilayah Persekutuan Putrajaya: jaraknya sekitar 34 kilometer & mengambil masa kira-kira 40 minit jika melalui laluan Nilai – Salak Tinggi – Dengkil – Cyberjaya – Putrajaya.
  • Nilai ke pantai Morib, Banting: jaraknya sekitar 49 kilometer & mengambil masa kira-kira satu jam jika melalui laluan Nilai – Salak Tinggi – Bukit Changgang – Banting – Morib.
  • Nilai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA): jaraknya sekitar 23 kilometer & mengambil masa kira-kira 28 minit jika melalui laluan Nilai – Salak Tinggi – KLIA.
  • Nilai ke ibu negeri, Seremban: jaraknya sekitar 23 kilometer & mengambil masa kira-kira 30 minit. Boleh ikut laluan Lebuhraya Utara Selatan Nilai-Seremban atau jalan ‘dalam’ Nilai – Labu – Seremban.
  • Nilai ke Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu: jaraknya hampir 57 kilometer & kira-kira satu jam 25 minit perjalanan jika melalui Nilai – Mantin – Lenggeng – Jeram Toi.
  • Nilai ke Bukit Broga, Semenyih: jaraknya sekitar 27 kilometer & kira-kira 34 minit perjalanan jika melalui Nilai – Pajam – Bandar Tasik Kesuma – Semenyih.

Best kan duduk di Nilai? Nak ke KL senang, nak ke Putrajaya senang. Nak ke Seremban pun senang. Kalau nak mandi di pantai, boleh ke Morib. Kalau nak mandi air terjun, boleh ke Jeram Toi. Kalau nak mendaki pula, boleh ke Broga.

4) Bandar Baru Nilai ada banyak tempat menarik

Penulis nak buka cerita sikit. Dulu penulis pernah belajar selama empat tahun di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terletak di Bandar Baru Nilai. Kalau korang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, mesti akan perasan bangunan kuning berkubah biru di tepi lebuhraya. Untuk makluman, itu bukan masjid tapi sebenarnya ialah Bangunan Canselori USIM; pusat pentadbiran universiti.

Kredit: Faiz Abdul Manan/Google

Banyak tempat menarik yang ada di Bandar Baru Nilai. Contohnya kalau korang nak bersantai dengan kawan-kawan dan keluarga di tempat lapang sambil berkelah, korang boleh ‘melepak’ di Dataran Nilai. Siap boleh bergambar dengan menara jam lagi. Kalau korang nak membeli-belah, korang boleh ke AEON, belakang dataran je.

Kalau korang nak borong kain yang dekat dengan pusat bandar, korang boleh ke Nilai Square. Kat situ banyak kedai-kedai kain berjenama yang dijual dengan harga cukup berpatutan. Selain tu kalau nak makan-makan sedap, ada banyak kedai makan menarik di bandar ini.

Ikut pengalaman penulis, ‘port’ makan tomyam & mi celup paling sedap di Negeri Sembilan ialah Restoran Sahabat, betul-betul bertentangan dengan Dataran Nilai. Ni jadi ‘port’ budak USIM makan, buat ‘meeting’ dan ‘assignment’.

5) Ada Nilai 3, ‘lubuk’ beli langsir untuk hari raya

Tidak sahlah kalau datang bertandang ke Nilai tapi tak singgah di Nilai 3. Korang mesti tahu kan, Nilai 3 merupakan ‘lubuk’ jualan permaidani, langsir, kain, barang rumah, pinggan mangkuk dan perhiasan yang menjadi ‘igauan’ para emak-emak dan isteri-isteri kita.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, boleh dikatakan Nilai 3 akan hidup semeriah-meriahnya apabila ramai pengunjung dari Negeri Sembilan, Lembah Klang, selatan, pantai timur malah utara hadir ke sini untuk memborong sakan pelbagai barangan persiapan raya.

Tidak kurang juga, Nilai 3 merupakan antara pilihan utama mana-mana bakal pengantin baharu yang mencari persiapan majlis perkahwinan. Sebut saja nak cari apa, semuanya ada di sini.

Puluhan deretan kedai-kedai yang menjual segala keperluan rumah di sini, termasuklah beberapa jenama besar pengeluar kain ‘gergasi’. Jadi kalau nak kahwin ke, nak beraya ke, tak perlu susah-susah nak ke ibu kota yang sesak tu. Boleh je pergi ke Nilai 3.

Betul ke Nilai 3 di Selangor?

Berbalik kepada isu utama, akhir-akhir ini netizen saling ‘berdebat’ tentang di manakah lokasi sebenarnya Nilai 3 ini. Tak perlu pening-pening, mari kita lihat kedudukannya dalam Google Maps.

Jika dilihat di atas, terdapat satu garisan putus-putus yang memisahkan Negeri Sembilan dan Selangor. Jelas di situ, anak panah di bahagian atas menunjukkan kawasan Selangor manakala anak panah bawah pula menunjukkan kawasan Negeri Sembilan. Manakala tanda petak empat segi pula menunjukkan lokasi Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Agak jauh sebenarnya lokasi Nilai 3 dengan sempadan, apatah lagi untuk ‘memasuki’ Selangor. Manakala jika merujuk kepada portal rasmi negeri, tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat mengenai ‘perpindahan’ Nilai 3 ke Selangor. Jadi kesimpulannya adalah seperti di bawah;

Nilai 3 masih kekal berada di dalam Negeri Sembilan dan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai. Maka kemungkinan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan bahawa Nilai 3 di bawah Selangor itu dipercayai hanyalah sekadar mitos dan gurauan saja.

Sumber: Majlis Bandaraya Seremban / BERNAMA / Google Maps

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'