Siakap Keli

Pekerja Langgar Kuarantin, Polis Melaka Panggil Pengurusan Kilang

MELAKA, 26 Mei (Bernama) — Polis Melaka memanggil pihak pengurusan sebuah kilang di kawasan perindustrian Ayer Keroh di sini semalam susulan penularan rakaman beberapa video dipercayai pekerja kilang berkenaan memakai gelang merah jambu telah melanggar perintah kuarantin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengan ACP Afzanizar Ahmad berkata video berkenaan merakamkan beberapa lelaki dipercayai warga asing keluar dari kediaman mereka untuk membeli barang runcit di Taman Ayer Keroh Height di sini.

“Polis telah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan menerusi WhatsApp kira-kira 1.50 tengah hari semalam dan berdasarkan rakaman berkenaan dipercayai terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) telah berlaku.

“Justeru, pengurus sumber manusia kilang tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk merakam percakapan dan mendapatkan butiran lanjut pekerja terlibat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati warga asing terlibat baru memakai gelang merah jambu tersebut dan dalam proses dihantar balik ke hostel masing-masing untuk kuarantin.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15 Perenggan 22 (B) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 Akta 342.

Dalam pada itu, Afzanizar berkata orang ramai terutama mereka yang diarahkan menjalani kuarantin perlu terus mematuhi arahan berkenaan dan duduk di rumah.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story