Siakap Keli

Umpama ‘Magik’, Viral Fenomena ‘Sun Halo’ Latari Langit Di Bengaluru, Pukau Pandangan Ramai

Fenomena alam di dunia ini sememangnya sentiasa memberikan ‘kejutan’ yang tidak terjangka kepada manusia. Tetapi, apa yang pasti adalah fenomena tersebut juga memperlihatkan pemandangan yang indah dan mungkin belum pernah dilihat sebelum ini.

Minggu ini, tular di media sosial mengenai beberapa keping gambar yang memaparkan suasana pemandangan fenomena sun halo yang menyaksikan matahari membentuk bulatan seperti cincin di India.

Menurut Times of India, penduduk di sekitar Bengaluru dapat menyaksikan fenomena itu sekitar jam 11 pagi waktu tempatan pada Isnin lalu.

Bagi yang tidak tahu, sun halo atau turut juga dikenali sebagai ’22 darjah halo’ merupakan fenomena optik yang berlaku disebabkan oleh cahaya matahari yang membiaskan berjuta-juta kristal heksagon yang ‘tergantung’ di atmosfera. Ia membentuk bulatan seperti cincin dengan radius sekitar 22 darjah di sekitar matahari atau bulan.

Ia juga terhasil kerana awan cirrus yang kelihatan nipis. Awan tersebut terbentuk sangat tinggi di atmosfera dengan ketinggian lebih dari 20,000 kaki.

Sama seperti pelangi, lingkaran halo kelihatan apabila dilihat dari sudut yang betul. Ia merupakan kilauan kolektif berjuta-juta kristal yang kebetulan memiliki arah dan sudut yang tepat untuk mengarahkan cahaya yang dibiaskan ke mata orang yang melihatnya.

Gambar-gambar fenomena itu telah tular di Twitter termasuk gambar di bawah ini yang kelihatan sangat cantik. Sehingga kini, ia mendapat sebanyak 32 ribu ulang ciap dan 138.1 ribu tanda suka. Warganet juga meluahkan rasa teruja mereka melihat keindahan fenomena itu.

Sumber: Times of India, Twitter

Sofea

There's always another side to every story