Siakap Keli
Gambar: The Japan Times

“Buat Pilihan, Ambil Vaksin Atau Saya Penjarakan Anda”, Amaran Presiden Filipina Kepada Rakyatnya

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk memenjarakan rakyatnya yang enggan mengambil vaksin ketika Filipina sedang bergelut memerangi wabak pandemik COVID-19, lapor portal South China Morning Post (SCMP).

“Anda pilih, vaksin atau saya akan penjarakan anda,” ujar Duterte dalam satu sidang media pada Isnin berikutan laporan mengenai jumlah yang rendah di beberapa pusat vaksinasi di ibu kota, Manila.

Ucapan Duterte dilaporkan bertentangan dengan pegawai kesihatannya yang menyatakan bahawa orang ramai didesak untuk mengambil vaksin COVID-19 itu secara sukarela.

“Jangan salah faham, sedang ada krisis di negara ini,” kata Duterte. “Saya berasa geram dengan orang yang tidak mengambil berat dengan arahan kerajaan.”

Pada 20 Jun, pihak berkuasa Filipina dilaporkan telah memberikan vaksin sepenuhnya kepada 2.1 juta orang. Ianya dilaporkan agak perlahan dengan sasaran yang diletakkan kerajaan.

Duterte, yang selalu dikritik kerana pendiriannya yang keras dalam membendung virus tersebut juga turut mempertahankan keputusannya untuk tidak membenarkan sekolah dibuka semula.

Filipina adalah antara negara Asia yang teruk dilanda dengan wabak pandemik COVID-19. Dilaporkan, negara tersebut mencatatkan lebih daripada 1.3 juta kes dan mempunyai lebih daripada 23 ribu kes kematian yang berkaitan dengan COVID-19.

Sumber: South China Morning Post

Aqmal Ezany

I write what is right