Siakap Keli

(Video) Peluk Islam Ketika Umur 39 Tahun, Adam Corrie Dedah ‘Kisah Silam’ Sewaktu Belum Bersyahadah

Siapa yang pernah tonton filem aksi KL Gangster (2011), mesti cukup kenal dengan watak Dragon. Ramai penonton berpendapat, watak ‘Dragon’ yang cukup samseng, ganas dan berwajah ‘taiko’ itu sangat sesuai dengan pelakonnya, Adam Corrie.

Namun di sebalik aksi ganas yang ditayangkan di layar perak, Adam Corrie sebenarnya adalah lelaki yang sangat sopan orangnya. Mungkin ada yang belum tahu, pelakon berbangsa Cina ini sebenarnya baru ‘berhijrah’ ke agama Islam pada usianya 39 tahun.

Pendek kata, Adam pernah melalui zaman kehidupan ‘sebelum bersyahadah’ yang sungguh berbeza dengan kita semua. Malah ketika dulu, Adam cukup sinonim dengan karakter antagonis dalam mana-mana filem yang dilakonkannya.

Hari ini, Adam berkongsi perjalanan hidupnya yang dianggap sebagai satu anugerah terindah diberikan oleh Sang Pencipta. Beliau berkongsi rasa bahagia itu di laman Facebooknya buat tatapan peminat.

Gambar: TikTok

Dalam perkongsian tersebut, Adam menulis;

Nikmat yang paling berharga dalam hidup saya adalah nikmat diberikan hidayah mengenali dan kembali kepadaNya ketika masih bernyawa.

Nikmat kedua adalah diberikan pasangan hidup (selepas syahadah , iaitu pulang dari umrah) yang banyak membantu dalam hidup saya selepas syahadah supaya untuk istiqamah dalam mencari keredhaan Allah.

Nikmat ‘sabar’ menanti cahaya mata selepas 10 tahun dalam perkahwinan. Dan sabar menghadapi rintangan kehidupan yang penuh dengan tipu daya dan ujian.

Alhamdulillah, qana’ah, asal punya rasa cukup, hidup ini pasti indah.

Senyum selalu, selalu bersangka baik, InsyaAllah hati tenang.

Dalam pada itu, Adam turut mendedahkan secebis ‘kisah silamnya’ semasa sebelum bersyahadah beberapa tahun dulu. Pada ketika itu, beliau masih aktif dalam industri seni tanah air sebagai guru tari, penari dan pelakon.

Malah beberapa foto silamnya yang mempamerkan wajah ‘taiko’ turut dikongsi. Jom ikuti video Adam di bawah ini.

@adamcorrie_

Syukur dengan nikmat hidayah dari Allah. #adamcorrie #fyp #cinamuslim #fypmalaysia

♬ SurgaMu – UNGU

Dalam perkongsian itu juga, Adam sempat berkongsi ilmu tentang nasihat Imam Ghazali yang menjadi pegangan hidupnya seperti di bawah;

Nasihat Imam Ghazali: 6 Cara Menghindari Sifat Sombong

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah bahawa kanak-kanak tersebut lebih mulia daripada kita kerana mereka belum banyak melakukan dosa.

2. Apabila bertemu dengan orang yang lebih tua daripada kita, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadah.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana mereka telah mempelajari dan mengetahui banyak ilmu.

4. Jika melihat orang bodoh, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka melakukan dosa dalam kebodohan, sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan mengetahui.

5. Apabila melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin suatu hari nanti dia akan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan di dalam hati bahawa mungkin suatu hari nanti mereka akan mendapatkan hidayah dan memeluk Islam sehingga segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah S.W.T.

Kesombongan itu datang bila kita rasa kita memiliki sesuatu istimewa. Walhal pemilik kemuliaan, keindahan dan kebahagiaan adalah Allah. Semoga Allah cabut penyakit ini dari dalam diri kita. Amiin.

Semoga perjalanan hidup ‘Dragon’ ini menjadi sumber inspirasi buat kita dalam menjadi insan yang lebih baik. Amin.

Sumber: Adam Corrie

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'