Siakap Keli

(Video) Dipercayai Berusia Lebih 100 Juta Tahun, Kenali Misteri “The Eye of Sahara”, Formasi Seakan Mata Di Padang Pasir Yang Jadi Tanda Tanya Hingga Kini

Di sebalik pelbagai keindahan struktur geologi yang terhampar di muka bumi ini, wujudnya juga beberapa penemuan yang misteri dan masih menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.

Salah satu darinya adalah formasi besar yang berbentuk seperti ‘mata lembu’ yang dapat dilihat di permukaan gurun Sahara. Anehnya, bentuk itu hanya mampu dilihat dari ruang angkasa dan amat sukar untuk dikesan jika berada di permukaan tanah gersang itu.

The Eye of the Sahara

Dikenali sebagai The Eye of Sahara atau Richat Structure, ia mula dikesan oleh para angkasawan ketika misi Gemini IV pada tahun 1965. Formasi geologi itu terbentang di kawasan pasir seluas 40 kilometer di negara Mauritania.

Imej jelas yang memaparkan formasi itu seterusnya dirakam oleh satelit Landsat dengan pendedahan maklumat mengenai ukuran, tinggi dan luasnya.

Penemuan bentuk misteri tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan teori dalam kalangan penduduk di dunia sehingga ada yang mendakwa bahawa ia merupakan sebahagian dari kota Atlantis yang hilang.

Pun begitu, ahli geologi telah merungkai segala persoalan tersebut berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas permukaan struktur itu.

Teori awal

Pada awalnya, ahli geologi percaya bahawa The Eye of Sahara  merupakan kawah hentaman asteroid dan letusan gunung berapi tetapi tidak ada bukti yang terarah pada kedua teori itu.

Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada batu yang terdapat di dalam struktur itu menunjukkan bahawa ia merupakan earth-based sepenuhnya iaitu terhasil daripada proses geologi.

Keajaiban geologi yang unik

Disebabkan itu, mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa ia merupakan kubah geologi (geologic dome) yang mengandungi batuan yang berusia sekurang-kurangnya 100 juta tahun iaitu tidak lama sebelum munculnya kehidupan di bumi.

Batu-batuan ini termasuk endapan igneus (lapisan gunung berapi) serta lapisan sedimen. Beberapa tahun yang lalu pula, ahli geologi menemui beberapa jenis batuan beku di kawasan pembentukan mata itu termasuk yang dikenali sebagai kimberlite, carbonatites, basalt hitam dan rhyolites.

Batu-batu kuno yang terdapat dalam kubah geologi itu telah memberikan maklumat kepada para penyelidik mengenai asal usulnya.

Pembentukannya yang paling awal adalah bermula ketika Pangea (superbenua) mula terpisah. Ketika Pangea pecah, perairan Lautan Atlantik mulai mengalir ke wilayah ini. Ia menyebabkan berlakunya tolakan dari dalam magma dan mantel bumi sehingga membentuk kubah berbatu dengan bulatan yang dikelilingi oleh lapisan batu pasir.

Keunikannya itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan ahli geologi tetapi disebabkan ia berada di kawasan gurun yang kering dengan curahan hujan yang sedikit, ia tidak ‘diancam’ oleh manusia.

Pun begitu, ia tetap dianggap sebagai misteri dan masih menjadi perdebatan sehingga kini.

Sumber: Insider, ThoughtCo, Merdeka.com, NASA

Sofea

There's always another side to every story