Siakap Keli
Gambar Via ANI News

Mayat Bayi Perempuan Ditemukan Dalam Longkang

BALIK PULAU, 5 Ogos (Bernama) — Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat dikerumuni ikan ditemukan dalam sebuah longkang di kawasan berhampiran kebun durian di Mukim 6, Pondok Upeh di sini petang semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat dan dipercayai dilahirkan seorang wanita warga asing itu ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang selepas polis menerima laporan polis daripada doktor.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata polis pada mulanya menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) yang merawat wanita berkenaan yang mengalami pendarahan rahim dipercayai baru melahirkan bayi.

“Doktor yang merawat wanita berusia 35 tahun itu mendapati uri tanpa bayi di dalam rahimnya dan dia enggan memberi kerjasama ketika ditanya tentang lokasi bayi yang dilahirnya itu sebelum pegawai perubatan tersebut membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal, wanita itu mengaku dan mendakwa bayi perempuan yang dilahirkannya telah terjatuh ke dalam longkang berdekatan tempat tinggalnya yang juga tempat dia bekerja,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kamarul Rizal berkata wanita itu mendakwa dia melahirkan bayi berkenaan pada 5 petang, Selasa (3 Ogos) dan mahu mengebumikan bayi berkenaan kerana mendapatinya sudah tidak bernyawa selepas dilahirkan namun ketika suspek tiba berdekatan sebuah longkang, dia berasa hendak pitam lalu bayi tersebut terlepas daripada pegangannya dan terjatuh ke dalam longkang.

Katanya selepas itu, wanita tersebut berpatah balik ke rumah majikannya yang tidak jauh dari lokasi anaknya terjatuh sebelum pengsan di bahagian dapur dan ditemukan majikannya dalam keadaan berdarah sebelum dia dibawa ke HBP pada, 6 petang Selasa.

“Siasatan mendapati wanita itu bekerja sebagai penjaga warga emas dengan gaji RM1,300 sebulan dan dia dipercayai mengandung hasil hubungan sulitnya dengan seorang pekerja kebun warga asing yang juga tinggal berdekatan tempat kerja wanita itu,” katanya menambah pihaknya kini sedang mengesan pekerja kebun terbabit.

Menurutnya wanita tersebut yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), pernah berkahwin namun sudah bercerai dan proses bedah siasat ke atas mayat bayi tersebut akan dijalankan hari ini selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh.

“Polis akan menahana wanita itu selepas dia selesai menjalani rawatan di hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story