Siakap Keli

Kisah Insiprasi Mahavir Phoghat, Latih Anak Perempuannya Bergusti Hingga India Berjaya Ke Olimpik

Mungkin ada yang belum tahu, India pernah mempunyai sejarah menarik tentang atlet gusti wanita yang bermula daripada satu ‘revolusi’ di sebuah kampung pada satu ketika dahulu.

Segalanya bermula dengan perjuangan penggusti legenda, Mahavir Singh (gambar ketika muda) yang menyedari akan ‘kelompongan’ dalam acara sukan gusti di negara tersebut.

Mengimbas kembali sejarah, Mahavir Singh Phoghat yang berasal di Haryana telah berhijrah ke Delhi untuk berlatih sebagai ahli gusti di bawah ‘master’ Chandgi Ram.

Selama beberapa tahun berkelana di sana, Mahavir berjaya menjadi penggusti hebat dan sering menyertai pertandingan hingga dinobat juara dalam perlawanan-perlawanan gusti di sekitar Himachal, Uttar Pradesh, Punjab dan sebagainya.

Kredit: Robust Story
Kredit: Rediffmail

Mengenangkan kejayaannya dalam gelanggang gusti, bapa kepada empat anak perempuan itu terinspirasi untuk membuat satu revolusi baharu dalam sukan tersebut. Selama ini di India, gusti hanya didominasi oleh kaum lelaki sahaja.

Malah jurang nisbah tersebut membuatkan diskriminasi jantina dalam dunia sukan agak tegang. Oleh itu,  Mahavir tekad mewariskan legasi gustinya kepada darah dagingnya sendiri.

Dengan tekad yang besar, Mahavir yang juga merupakan pekerja di sebuah lembaga elektrik tempatan sanggup berhenti kerja serta-merta demi memberi tumpuan penuh kepada misi tersebut.

Justeru, kedua-dua anak perempuannya, Geeta dan Babita mula diberikan latihan fizikal serta stamina pada setiap hari. Malah mereka berdua juga turut berlatih gusti dengan pelatih lelaki.

Kredit: Hindustan Times

Usaha Mahavir yang giat melatih kedua-dua anak perempuannya bergusti itu mula mendapat maklum balas dan perspektif negatif daripada orang kampung.

Disebabkan tiada seorang pun pelatih gusti wanita yang ada ketika itu, maka Geeta dan Babita terpaksa menjalani latihan ‘keras’ bersama dengan pelatih-pelatih gusti lelaki.

Hal ini telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat kerana dianggap ‘mencalar tradisi’ kaum, apatah lagi mereka berdua hanyalah remaja perempuan yang sepatutnya menjadi ‘wanita’, bukan beraksi keras seperti lelaki.

Disebabkan itu, Mahavir mula dikecam dan dikritik oleh orang kampungnya sendiri. Bagaimanapun dia langsung tidak ambil endah akan kecaman tersebut, sebaliknya terus memperbaiki latihan-latihan yang dijalankan.

Kredit: India Times

Akhirnya Mahavir tekad menghantar Geeta dan Babita ke Sports Authority of India Northen Regional Center di Sonipat, wilayah berdekatan Delhi untuk menjalani kursus sukan di sana.

Selepas beberapa tahun berkelana di situ, kedua-dua mereka telah berjaya menjadi penggusti yang hebat, sama seperti ayah mereka ketika di zamannya sewaktu muda dahulu.

Usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Geeta berjaya memenangi pingat emas pertama India bagi acara gusti wanita dalam Kejohanan Gusti Komanwel 2009 dan Sukan Komanwel Delhi 2010.

Perjalanan kariernya tidak terhenti di situ. Berbekalkan kejayaan lalu, Geeta selanjutnya terpilih untuk mewakili India bagi acara gusti wanita 55 kilogram dalam Olimpik London 2012.

Kredit: Hindustan Times

Sekali lagi, Geeta membuktikan kehebatannya apabila dia berjaya menewaskan lawan dari Ukraine, Tetyana Lazareva sebanyak 3-0 sebelum dinobat tempat ketiga dan merangkul pingat gangsa bagi acara tersebut.

Begitu juga adiknya, Babita yang turut memenangi pingat perak di Sukan Komanwel 2010 dan kemudian memperoleh emas, di Sukan Komanwel seterusnya.

Kisah kejayaan Mahavir yang mencipta revolusi sukan gusti wanita di India hingga berjaya membawa negaranya ke Komanwel dan Olimpik ini telah diadaptasi ke layar perak melalui filem Dangal (2016) yang dibintangi pengarah dan pelakon terkenal, Aamir Khan.

Kredit: The Better India

Sumber: Mans World India / Republic World / India Today / Times of India

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'