Sebuah ketulan aisberg satu setengah kali ganda saiz Paris nyaris berlanggaran dengan ketulan aisberg lain di Antartika, lapor Independent UK.
Menurut portal itu, pelepasan aisberg baharu yang lebih besar boleh terhasil jika pelanggaran berkenaan benar-benar berlaku.
Kejadian tersebut berjaya dirakam melalui imej satelit di lokasi terlibat.
Menerusi imej tersebut, kelihatan aisberg berkenaan terapung berhampiran ‘pelantar’ aisberg (ice shelf) yang telah mempunyai retakan.

“Jika aisberg yang hanyut itu menghentam zon ‘pelantar’ dengan daya yang kuat, ia mungkin menyebabkan pelepasan aisberg baru bersaiz 1,700 km persegi,” kata wakil The European Space Agency (ESA).
Tambah portal terbabit, ahli glasiologi sedang mengkaji kawasan berkenaan dan memperhatikan retakan serta jurang pada ‘pelantar’ ais tersebut.
“Berikutan keretakan pada 2017 membuatkan kawasan itu tidak selamat, British Antarctic Survey telah menutup stesen kajian mereka, Halley VI Research Station dan menempatkannya semula di lokasi yang lebih selamat.
“Stesen itu dibina menggunakan lapan pod bersambungan di atas ski bagi membolehkannya dipindahkan dengan mudah jika berlaku ketidakstabilan ais atau keretakan baru pada ‘pelantar’ ais,” tambah ESA.
Memetik Independent UK, lokasi itu diancam pemanasan global dengan suhu 3 darjah selsius lebih tinggi berbanding tahun 1950-an. Bagaimanapun, saintis tidak menyimpulkan bahawa kejadian ini berkait langsung dengan perubahan iklim.
Sumber: Independent UK